FELCRA puas 'tambat' Bos Gaurus

0
38
Advertisement



JURULATIH FELCRA FC, Tarcisio Pugliese memuji aksi anak buahnya ketika mengikat Perak tanpa jaringan dalam saingan sulung Kumpulan A Piala Malaysia di Ipoh, malam tadi.

Bagi jurulatih itu, satu mata yang dikutip tetap satu permulaan baik kerana berhadapan pencabar kuat.

Jurulatih dari Brazil itu mengakui FELCRA FC tertekan hebat sepanjang perlawanan tetapi kesungguhan mereka bertahan faktor menghalang kemenangan tuan rumah.

“Perak pasukan yang kuat. Mereka memiliki pemain dan ketua jurulatih yang bagus.

“Begitupun kami juga mempunyai peluang untuk memenangi perlawanan jika beberapa peluang dicipta dapat disempurnakan,” katanya.

Jurulatih itu bagaimanapun tidak mahu mendabik dada berikutan kejayaan itu.

“Masih terlalu awal. Masih banyak perlawanan perlu dilalui. Kami akan hadapi satu perlawanan demi perlawanan,” katanya.

Sementara itu, kapten FELCRA, Sharom Kalam lega dengan kejayaan mengutip satu mata dalam kunjungan ke Ipoh itu.

“Kami dalam proses menyiapkan diri untuk menghadapi Liga Super tahun depan.

“Justeru kempen Piala Malaysia ini medan menimba pengalaman selain menunjukkan kepada pasukan lain kemampuan FELCRA FC, ” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here