Felda dapat kembali hak tanah di Jalan Semarak – Shahrir

0
65
Advertisement
KUALA LUMPUR : Felda mengesahkan mendapat kembali hak milik tanah di Jalan Semarak selepas satu perjanjian persefahaman ditandatangani antara mereka dan Synergy Promenade Sdn Bhd. (SPSB).

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad sehubungan itu berkata, Projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) akan dirunding semula dan diteruskan oleh Felda serta SPSB.

“Kita akan berunding semula bagi penambahbaikan ke atas pelaksanaan perjanjian pembangunan tersebut untuk dan demi kebaikan kesemua pihak.

“Felda turut akan memastikan bahawa segala proses dan prosedur pengembalian tanah ini serta proses-proses lain dalam Projek KLVC akan menurut tatacara tadbir urus korporat yang baik dan berintegriti,” katanya dalam sidang media di Menara Felda di sini, hari ini.

Bagaimanapun kata Shahrir, laporan polis yang dibuat di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) pada 12 dan 28 Disember tahun lalu tidak akan ditarik balik.

“Audit forensik yang sedang berjalan juga akan diteruskan bagi mengenal pasti jika terdapat salah laku dalam transaksi terbabit.

“Walaupun isu pemindahan tanah ini hanya diketahui umum sejak 21 Disember 2017, tetapi hakikatnya Felda pada seawal Januari ini telah mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mendapatkan semula tanah yang telah dipindah milik,” ujarnya.

Shahrir turut menjelaskan, pada 14 April tahun lepas, Felda telah berjaya mendaftarkan Kaveat Persendirian ke atas 16 lot tanah yang telah dipindah milik. - Foto Astro AWANI / Shahir Omar

Tanah milik Felda yang bernilai RM270 juta itu mula menjadi kontroversi apabila Shahrir mendedahkan penukaran milik tanah berkenaan tanpa mendatangkan sebarang pembayaran kepada Felda.

Dalam pembangunan berkenaan, Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak itu apabila bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkannya.

Tanah itu dimajukan dengan projek KLVC membabitkan tujuh menara, termasuk menara ikonik Felda dikenali sebagai KLVC Tower1A.

Shahrir turut menjelaskan, pada 14 April tahun lepas, Felda telah berjaya mendaftarkan Kaveat Persendirian ke atas 16 lot tanah yang telah dipindah milik.

“Pada 12 Disember 2017 pula, Felda telah membuat laporan polis dan kemudiannya pada 26 Disember 2017, Kaveat Pendaftar didaftarkan ke atas 15 lot tanah yang telah dipindah milik.

“Seterusnya pada 28 Disember 2017, satu lagi laporan polis telah dibuat yang kemudiannya membawa kepada pendaftaran Kaveat Pendaftar ke atas satu lagi lot tanah yang turut dipindah milik,” ujarnya.

Terdahulu, sebuah akhbar melaporkan SPSB telah menyerahkan semula 16 geran tanah Felda yang telah dipindah milik untuk dibangunkan sebagai KLVC.

Dokumen berkenaan diserahkan kepada Pengarah Besar Felda, Datuk Ab Ghani Mohd Ali kira-kira jam 1 tengah hari Isnin.

Majlis ringkas berkenaan juga disaksikan Shahrir di Ibu Pejabat Felda.

Persetujuan dan penyerahan berkenaan dibuat Ahli Lembaga Pengarah Synergy Promenade, Datuk Marina Hashim.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sebelum ini berkata kertas siasatan berhubung isu tanah Felda di Jalan Semarak di sini dijangka diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara, hujung minggu depan.

Tegasnya, buat masa kini pihaknya masih menjalankan siasatan terperinci selain akan memanggil beberapa individu untuk direkodkan keterangan.

Sebelum ini, bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad antara yang dipanggil memberi keterangan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman berhubung isu pemindahan hak milik tanah Felda itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here