Felda mahu FGV diurus sebaiknya bukan dipolitikkan – Shahrir

0
36

JOHOR BAHRU: Felda sebagai pemegang saham terbesar Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mahukan entiti itu diurus sebaik mungkin sebagai satu bisnes dan bukan dipolitikkan, kata Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abd Samad.

Beliau berkata pelantikan Pengerusi FGV yang baharu Datuk Azhar Abdul Hamid sememangnya tepat memandangkan latar belakang tokoh itu sebelum ini dalam perniagaan industri sawit serta berpengalaman dalam perakaunan profesional, menguruskan syarikat yang terbukti integritinya.

Justeru itu, tidak timbul isu Azhar akan lari daripada tanggungjawab itu, tegasnya.

Shahrir berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan seorang ahli politik yang mahu Azhar menangani sebarang isu atau masalah sehingga selesai dan tidak mengulangi tindakannya yang didakwa meninggalkan syarikat ketika bersama dengan MRT Corp sebelum ini.

“Kalau pasal hendak bagi nasihat, cakap dengan saya. Saya (pengerusi) Felda dan Felda adalah bapa kepada FGV…. saya orang politik, jadi datang jumpa saya,” katanya yang sebelum itu merasmikan Program UMNO Bantu Rakyat 2.0 di Dewan Sekolah Menengah Sri Tebrau di sini, pada Jumaat.

Sementara itu, Shahrir yang juga Ketua Bahagian UMNO Johor Bahru dan anggota Parlimen Johor Bahru berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak terganggu dengan ‘tumpuan’ pembangkang di kawasan Parlimen diwakilinya itu, sebaliknya akan terus melaksanakan tanggungjawabnya kepada pengundi di kawasan terbabit.

“Kita mesti bersedia untuk bersaing di atas rekod pencapaian dan janji-janji kita untuk masa depan. Itulah keadaan BN dan UMNO dari dahulu sampai sekarang. Pilihan raya adalah satu proses dan parti akan sentiasa bekerja,” katanya.

Pada program itu, Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BiKUM) membantu 300 murid daripada beberapa sekolah rendah di kawasan Parlimen Johor Bahru untuk membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) dengan sumbangan sebanyak RM100 ke dalam setiap akaun.

Menurut Pengerusi BiKum Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, sumbangan itu dilihat akan memberikan kesan jangka masa panjang selain mahu membudayakan masyarakat untuk menabung.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here