FELDA United hampiri kejuaraan

0
10
Advertisement



JURULATIH FELDA United, B enggan dibuai keyakinan walaupun pasukan kendaliannya itu di landasan tepat untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana 2018.

Bekas jurulatih kebangsaan itu berkata kemenangan terbaharu 3-2 ke atas Terengganu FC II (TFCII) di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka membolehkan mereka menjarakkan diri dengan pesaing terdekat, FELCRA FC yang tewas 0-2 di tangan UKM FC malam tadi.

“Kejuaran sudah hampir tetapi belum nampak lagi, FELCRA malam ini tewas tetapi mereka ada dua perlawanan kurang berbanding FELDA United.

“Kita ada lima lagi perlawanan dan kena menang tiga (untuk mengesahkan kejuaraan Liga Perdana)…kita akan terus fokus untuk mencapai kemenangan,” katanya ditemui selepas perlawanan Liga Perdana di antara FELDA United dengan TFCII di sini, malam tadi.

Penyerang import dari Brazil, Thiago Augusto Fernandes muncul wira pasukan The Fighters apabila menjaringkan dua gol manakala satu lagi gol dijaringkan Christiee Jayaseelan.

Gol TFCII pula dihasilkan oleh kedua-dua pemain importnya, Bruno Junichi Suzuki dan Akanni Sunday.

Kemenangan itu menyaksikan FELDA United memperoleh 36 mata selepas 15 perlawanan manakala TFCII kekal di tangga tercorot dengan 11 mata.

Mengulas perlawanan itu, Sathianathan  gembira pemainnya mendapat rentak di awal separuh masa kedua selepas dikejutkan dengan gol awal pasukan pelawat menerusi Suzuki pada minit ke 38.

“Pada 30 minit pertama pemain saya bermain dengan baik…cuma selepas itu pemain dilihat bermain teragak-agak, mujur pada separuh masa kedua mereka bermain dengan tenang dan membuat hantaran kemas.

“Kita menggunakan kemampuan untuk menjaringkan tiga gol, cuma saya tidak puas hati apabila lawan mendapat gol kedua (pada minit-minit terakhir perlawanan).

“Saya memuji pergerakan cantik pemain seperti Hadin Azman, Thiago dan Gilberto Fortunato…jaringan Jayaseelan menaikkan semangat begitu juga Wan Zack Haikal Wan Nor yang bermain cemerlang selepas dimasukkan menggantikan Muhammad Khairu Azrin Khazali,” katanya.

Sementara itu, jurulatih TFCII, Mustaffa Kamal Wahab kecewa dengan pertahanan pasukannya sehingga membiarkan gawangnya dibolosi Jayaseelan.

“Pada saya kelekaan pada minit awal separuh masa kedua menyebabkan FELDA United berjaya menjaringkan gol dan menaikkan semangatnya.

“Kita perlu berusaha lebih keras dalam baki lima perlawanan lagi untuk memperbaiki kedudukan dalam Liga Perdana seterusnya kekal bersaing di liga itu untuk musin depan,” katanya.

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here