Fesyen bintang sepanjang zaman

0
80



Aura mereka tidak pernah hilang walaupun lebih 20 tahun membabitkan diri dalam industri seni tempatan. Datanglah berapa ramai bintang baru silih berganti, nama mereka tetap utuh dan kini berada dalam liga tersendiri.

Buktinya, lihat saja penampilan lima artis wanita ini sewaktu menghadiri Anugerah Bintang Popular BH 3.0 (ABPBH3.0), baru-baru ini. Kecantikan, keperibadian dan keanggunan mereka sewaktu menjayakan acara karpet merah tetap menjadi tumpuan lensa kamera media.

Mereka juga pernah mencipta sejarah tersendiri sepanjang penganjuran ABPBH dan mengungguli kategori yang dicalonkan.

Ella yang pernah menang Penyanyi Wanita Popular pada 1993 dan tahun ini menerima anugerah khas, tetap kelihatan ranggi pada malam itu walaupun bertudung.

Memilih berseluar potongan bell bottom dengan jaket ala denim warna sedondon menyerlahkan gayanya yang digelar ratu rock negara. Perincian jemeki pada kolar hingga ke bawah menjadi titik tumpu terhadap gayanya yang bersahaja.

Ziana Zain yang menang anugerah Artis Paling Popular pada 1995 juga memilih gaya bercelana pada malam itu. Peplum bertingkat bahagian pinggang memberikan ilusi skirt mini menjadi pelengkap gaya keseluruhan.

Sejak awal pembabitannya dalam dunia nyanyian hingga sekarang, penampilan Fauziah Latiff yang pernah menang Penghibur TV Wanita Popular pada 1992 dan 1993 tidak pernah mengecewakan.

Sejak dulu lagi Fauziah atau Jee diangkat sebagai ikon fesyen semasa.

Penampilannya pada malam ABPBH 3.0 walaupun dilihat ranggi, solekan dan dandanan juga gaya penampilan membuatkan dia tetap kelihatan ayu dan penuh anggun.

Primadona filem alaf baru, Erra Fazira yang mengungguli kategori Pelakon Wanita Popular sebanyak tujuh kali, tampil dengan gaun labuh potongan duyung. Hiasan jemeki di leher atas fabrik warna sedondon tudung menimbulkan kontras, sekali gus menjadi tarikan kepada keseluruhan gaya.

Pemenang Penyanyi Wanita Popular 1994 dan Pelakon Filem Wanita Popular pada 1998 dan 1999, Amy Mastura memilih gaun potongan duyung sedondon hitam. Anak tudung warna perak menyerlahkan penampilannya bagi mengikut tema ABPBH 3.0, futuristik.

SHARE
Previous articleBuka mata kerana Erma
Next articleZahasmi kekal

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here