FIFA, FAM nilai Padang Bandaran Parit Buntar

0
264
Advertisement



PERSEKUTUAN Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijadualkan membuat penilaian terhadap Padang Bandaran Parit Buntar Rabu ini sebelum diiktiraf sebagai venue Sukan Malaysia (SUKMA) Perak bagi acara bola sepak.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Perak, Howard Lee Chuan How berkata, pihaknya berharap ciri yang terdapat pada padang terbabit menepati piawaian yang dikehendaki dua badan berautoriti itu sebelum diiktiraf. 

“Diharapkan padang ini menepati kriteria ditetapkan FIFA dan FAM kerana kita tidak mahu ada pertukaran venue yang kelak boleh menimbulkan masalah dalam penganjuran SUKMA di negeri ini,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan dan meninjau padang berkenaan di sini petang tadi.

Menurutnya, Kerajaan Perak yakin padang itu yang dalam peringkat akhir penambahbaikan dapat disiapkan sepenuhnya dalam tempoh terdekat walaupun didapati agak terlewat daripada jadual asal.

“Pihak kontraktor memberikan jaminan padang ini termasuk kerja pembinaan astaka dan beberapa kemudahan lain seperti bilik persalinan dan tandas dapat disiapkan sebelum tarikh penyerahan pada 20 Ogos ini.

“Pembinaan padang ini sepatutnya diserahkan pada 15 Julai lalu tetapi ia mengalami kelewatan di peringkat awal pelaksanaan dan kontraktor dilantik kini dalam proses menyiapkannya dengan denda sebanyak RM1,603 setiap hari,” katanya.

Dalam perkembangan lain, venue acara judo yang dijadualkan di Dewan Taman Kerian Permai di sini terpaksa ditukar ke Dewan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Kerian kerana didapati dewan di SMJK Kerian lebih luas bagi menampung kehadiran peserta dan penonton. 

Mengenai persiapan keseluruhan venue lain, Chuan How berkata, 95 peratus venue hampir siap dan hanya gelanggang badminton yang menghadapi sedikit masalah dan sedang disiapkan.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here