Filipina hab baharu Daesh

0
54


TENTERA kerajaan Filipina mengawal di bandar Marawi, Pulau Mindanao, selatan Filipina.- Foto EPA

MARAWI: Pembabitan warga asing dalam pertempuran dengan tentera di selatan Filipina, minggu lalu membuktikan negara itu kini menjadi hab Asia kumpulan militan Daesh.

Pakar keselamatan berkata, 40 orang daripada 500 pemberontak yang menawan bandar di pulau Mindanao itu, Selasa lalu, adalah warga asing, termasuk dari Asia Barat.

Rohan Gunaratna dari Institut Kajian Antarabangsa S Rajaratnam Singapura, berkata mereka termasuk rakyat Indonesia, Malaysia, Pakistan, Arab Saudi, Chechen, Yaman, India, Maghribi dan Turki.

“Daesh semakin surut di Iraq dan Syria. Ia kini berkembang di Asia Tenggara dan Filipina menjadi pusatnya,” katanya.

Gunaratna berkata, penyelidikan institusinya mendapati lapan daripada 33 militan yang terbunuh dalam empat hari pertama pertempuran itu adalah warga asing.

Menurut maklumat perisikan dilihat Reuters, pihak berkuasa di Jakarta percaya 38 rakyatnya berkunjung ke selatan Filipina untuk menyertai kumpulan sekutu Daesh dan kira-kira 22 daripadanya menyertai pertempuran di sini.

Bagaimanapun, sumber penguat kuasa undang-undang Indonesia berkata, jumlah sebenar rakyatnya yang terbabit dalam pertempuran itu mungkin lebih daripada 40 orang.

Pertempuran di bandar ini bermula dengan serbuan tentera untuk menangkap Isnilon Hapilon, pemimpin Abu Sayyaf.

Abu Sayyaf dan kumpulan baharu, Maute, yang berikrar taat setia dengan Daesh berjuang bersama di sini, membakar hospital dan gereja serta menculik paderi Katolik.

Pertempuran di bandar itu menyebabkan Presiden Filipina Rodrigo Duterte melaksanakan undang-undang tentera di seluruh pulau Mindanao, kawasan sebesar Korea Selatan dengan 21 juta penduduk. – REUTERS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here