Firma AS yakin dengan prospek perniagaan ASEAN – Kajian

0
51

FIRMA Amerika Syarikat (AS) yakin dengan prospek pertumbuhan dan peluang pelaburan di ASEAN memandangkan perniagaan menyaksikan pertumbuhan kukuh dalam penggunaan domestik, demikian menurut satu kajian.

Kajian Prospek Perniagaan ASEAN 2018 yang merupakan edisi khas sempena ulang tahun ke-50 ASEAN itu mendapati 56 peratus eksekutif kanan syarikat AS yang berpangkalan di rantau ini menjangkakan keuntungan syarikat meningkat pada 2017 berbanding tahun lepas, manakala 74 peratus turut mengunjurkan keuntungan lebih tinggi pada 2018.

Selain itu, 58 peratus syarikat berpendapat bahawa pasaran ASEAN telah menjadi semakin penting untuk keuntungan global syarikat mereka sejak dua tahun lepas, manakala 62 peratus juga berkata jumlah perdagangan dan pelaburan mereka di ASEAN meningkat sepanjang tempoh itu.

“Bagi tempoh lima tahun akan datang, 80 peratus (daripada mereka) menjangkakan paras perdagangan dan pelaburan mereka di ASEAN akan meningkat,” menurut kajian yang dikeluarkan oleh Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM), Dewan Perniagaan AS dan Dewan Perniagaan Amerika di Singapura.

Mengulas mengenai kajian itu, Pengarah Eksekutif AMCHAM Malaysia, Siobhan Das berkata Malaysia terus menjadi rakan dagang AS penting dan berperanan bukan sahaja sebagai destinasi utama AS, malah sebagai bahagian penting daripada banyak rantaian bekalan dunia.

“Kepentingan kepelbagaian adalah amat diperlukan, ia merupakan faktor mengapa sejak sekian lama Malaysia menjadi destinasi pilihan selain terus menjadi lokasi utama dan strategik untuk banyak syarikat multinasional AS yang ingin menjalin kerjasama dengan populasi rantau ini.” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan bagi Asia, Dewan Perniagaan AS, Tami Overby berkata jika dasar AS tidak menyokong kerjasama erat yang dijalinkan syarikat AS, khususnya pengeksport kecil dan sederhana, di Asia, mereka akan ketinggalan.

“Jika mahu menyokong pertumbuhan ekonomi AS, kami perlu mewujudkan beberapa janji niaga perdagangan baharu di Asia, bukannya menarik diri daripada mereka,” katanya.

Kajian tersebut menekankan bahawa dasar perlindungan dan ketegangan serantau yang semakin meningkat merupakan antara cabaran kepada pertumbuhan ekonomi ASEAN.

“Dalam kajian sebelum ini, para eksekutif berpendapat bahawa Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) akan menjadikan rantau ini lebih menarik untuk pelaburan.

“Tahun ini, responden mengesyorkan beberapa aspek keutamaan untuk ASEAN tangani dalam konteks AEC, termasuk rasuah, halangan bukan tarif, ketelusan dan tadbir urus yang baik,” menurut kajian itu.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here