Fiza simpan rahsia kahwin lagi

0
53


FIZA bersama suami baharunya, Aizat Al-Jefri Abdul Kudus. – Foto ihsan Fiza Halim

KUALA LUMPUR: Pelakon, Fiza Halim, mendedahkan beliau sudah pun berkahwin buat kali ketiga pada Disember tahun lalu.

Bagi perkahwinan terbarunya, bekas anggota kumpulan Elite itu memilih juruterbang sebuah syarikat penerbangan terkenal yang juga duda beranak dua, Aizat Al-Jefri Abdul Kudus, sebagai suami.

Wanita jelita itu mula memberikan bayangan mengenai status terkini dirinya, yang kembali bergelar isteri, apabila berkongsi gambarnya bersama seorang lelaki di laman Instagram, baru-baru ini.

Ketika dihubungi BH Online, selain mengaku dirinya sudah kembali berumahtangga, Fiza turut memberitahu beliau berada di hospital menemani suaminya yang mendapatkan rawatan lanjut selepas menjalani pembedahan tonsil.

“Ya, memang saya sudah berkahwin tahun lalu. Maaf, saya sibuk sedikit menguruskan beberapa perkara di hospital. Suami saya baru saja melakukan pembedahan tonsil,” katanya.

Fiza memaklumkan, beliau mempunyai sebab untuk tidak berkongsi lebih awal mengenai perkahwinan terbarunya itu.

“Saya bersyukur dan bahagia sekalipun menerima pelbagai tohmahan dan cacian sebelum ini. Saya juga tidak berniat merahsiakan hal ini daripada semua orang, tetapi saya lebih suka mendahulukan keluarga terdekat. Biar Allah saja yang tahu hubungan kami halal.

“Buat apa nak cerita sana-sini? Bukan semua orang mahu mendoakan kita yang baik-baik. Lebih ramai yang kutuk daripada mendoakan yang baik. Jadi, kali ini saya ambil keputusan berdiam diri dulu dan biarlah orang tahu perlahan-lahan nanti,” katanya.

Sebelum ini, Fiza atau nama sebenarnya Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim, 36, pernah mendirikan rumah tangga bersama Ahmed Farriq Zainul Abidin. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Ferra Aryana, 9, dan Feeya Adyrra, 8.

Mereka bagaimanapun bercerai pada 4 November 2010 selepas hampir empat tahun berkahwin.

Fiza seterusnya berkahwin dengan penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia, Adam, pada September 2013. Perkahwinan terbabit hanya bertahan selama tujuh bulan sebelum mereka bercerai buat kali pertama.

Fiza dan Adam mengambil keputusan untuk rujuk selepas tiga bulan bercerai, namun setahun kemudian mereka disahkan bercerai buat kali kedua.

Pelakon itu dan Jefri bernikah di kediaman adiknya di Cyberjaya, Disember tahun lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here