Fokus besarkan Sefhia

0
66



Walaupun ramai lelaki mahu mendekatinya, Elly Mazlein belum terbuka hati untuk berkahwin lagi dan menganggap mereka hanyalah kawan biasa.

Dalam nada suara manja dan lirikan matanya yang seperti menyimpan rahsia, ibu tunggal ‘meletup’ berusia 36 tahun ini seakan-akan melihat siapa yang sanggup dan sabar menunggu sehingga dia benar-benar bersedia untuk mencari teman hidup semula.

“Buat masa ini saya selesa hidup sendiri dan membesarkan Sefhia (Putri Sara Sefhia) yang kini berusia setahun sebulan dan fokus pada kerja.

“Bagaimanapun, sekiranya jodoh sudah sampai, pasti saya akan hebahkan terutama kepada media yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya dari dulu hingga sekarang. Saya tidak akan berbohong dan melupakan jasa mereka,” katanya.

Elly yang baru saja hadir dengan single terbaru berjudul Jeritan Hati yang liriknya menceritakan segala keperitan yang pernah dilaluinya dulu berkata, apa yang berlaku sebelum ini hanya tinggal kenangan.

Hari ini tiada lagi titisan air mata yang mengalir di pipinya.

“Tiada lagi episod duka, malah saya sangat gembira dengan apa yang saya ada sekarang. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar, Sefhia pun semakin besar dan bijak. Selepas saya menyertai GV3 (Gegar Vaganza musim ketiga), saya dapat segala apa yang dimahukan sebelum ini. Saya bukan saja dapat meraih kembali perhatian peminat lama tetapi juga dapat mengumpul peminat baru,” katanya.

Menurut Elly, selepas dia terkeluar daripada program realiti itu, ada beberapa syarikat rakaman yang merisiknya tetapi hatinya lebih tertarik untuk bekerjasama dengan KRU Music Sdn Bhd.

Elly berkata, Datuk Norman Abdul Halim sendiri yang menghubunginya dan meminta dia datang ke pejabat KRU Music untuk berbincang.

“Kerjasama kami itu Allah SWT permudahkan. Mereka memperdengarkan 10 lagu dan saya terus tertarik pada trek lagu keempat kerana melodinya yang sangat syahdu terus menusuk ke kalbu. Liriknya pula sama seperti jalan hidup saya.

“Saya hayati lirik lagu itu dengan sepenuh hati, tetapi saya tidak tewas lagi dengan perasaan kerana semuanya sudah menjadi sejarah dan enggan lagi memandang ke belakang,” katanya.

Elly berkata, biasanya dia merakamkan lagu pada sebelah malam tetapi untuk Jeritan Hati ia dirakam pada jam 2 petang dan siap pada petang itu juga.

“Saya amat teruja dengan kelahiran single baru ini selepas tiga tahun tiada lagu baru. Saya harap Jeritan Hati dapat mengubat rindu peminat.

“GV3 benar-benar memberi impak besar kepada saya. Jadual saya juga penuh hingga September ini. Tawaran berlakon juga banyak tetapi saya belum sempat untuk mempertimbangkan setiap lamaran yang datang.

“Namun, ada satu syarikat produksi mahu juga saya berlakon dalam drama terbitan mereka sebanyak 40 episod untuk mengisi slot Samarinda (TV3) tetapi tarikh penggambaran belum tahu lagi,” katanya.

SHARE
Previous articleDunia mistik Risa
Next articleKarya Hamka di UM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here