FSPB mahu bantu pertingkat budaya profesionalisme institusi kewangan

0
102

KUALA LUMPUR: Lembaga Profesional Perkhidmatan Kewangan (FSPB) menyasarkan untuk membantu menggalakkan budaya profesionalisme dalam kalangan institusi kewangan, kata Pengerusinya, Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid.

Jelasnya, usaha itu akan dilakukan menerusi piawaian lembaga itu – Kod Etika dan Kod Tatakelakuan FSPB yang secara bersama membentuk satu kod profesional bagi industri berkenaan.

Malah, beliau turut menyifatkan kod-kod berkenaan akan memainkan peranan penting bagi menangani kebimbangan yang dibangkitkan oleh kalangan penggiat industri.

“Menerusi kerjasama erat dengan pihak industri dalam usaha membantu mereka melaksanakannya, FSPB juga dapat mempertingkatkan profilnya, menjelaskan pendekatan yang lebih kepada menasihat serta menerangkan aspek rasional dan mekanik penerimaan piawaian itu secara sukarela

“Jika perlu, FSPB juga mungkin menimbang untuk bekerjasama dengan institusi secara individu bagi mengatasi cabaran tertentu mereka bagi melaksanakan kod berkenaan,” katanya.

Kod etika FSPB itu menggariskan lima prinsip asas yang perlu dipatuhi institusi dan individu dalam industri perkhidmatan kewangan.

Lima prinsip itu adalah kecekapan, integriti, keadilan, kerahsiaan dan objektiviti bagi meningkatkan tahap profesionalisme dan etika yang dalam segenap industri itu bagi menyemai, mengekalkan dan mempertingkat kepercayaan dan keyakinan orang awam terhadap sektor berkenaan.

Sementara itu, Institut Kewangan Asia selaku peranannya sebagai sekretariat FSPB, turut menerbitkan satu laporan penyelidikan terbaru bertajuk ”Earning the Trust: Ethical Standards and Practices in the Malaysian Financial Services Industry.”

Ia antara lainnya memaparkan hasil tinjauan kalangan pengamal perkhidmatan kewangan Malaysia bagi mendapatkan maklumat mengenai tahap etika industri serta menilai tahap kesedaran, penerimaan dan pelaksanaan Kod Etika FSPB membabitkan individu dan pertubuhan berkaitan.

Kajian itu juga antara lainnya mendedahkan bahawa 40 peratus responden ternyata bimbangkan kesan akibat melaporkan tingkah laku yang tidak beretika.

Malah, majoriti bersetuju bahawa usaha pelaksanaan kod FSPB itu akan memberi manfaat kepada industri bagi meningkatkan tahap profesional serta mewujudkan budaya lebih beretika. — BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here