Fung raih gelaran sulung jelajah Asia

0
115
Advertisement



KUALA LUMPUR: Pemain golf Malaysia, Nicholas Fung berjaya mengatasi perasaan gementar untuk meraih gelaran sulungnya dalam Jelajah Asia pada Piala Ratu di Thailand hari ini, dan mendedikasikan kejayaan itu kepada bapanya.

Menurut laman web Jelajah Asia, pemain kelahiran Sabah berusia 27 tahun itu, yang merupakan pendahulu semalaman, menampilkan prestasi mantap pada saingan di Santiburi Samui Country Club di Koh Samui, Thailand, untuk mencatat empat bawah par 67 pada pusingan akhir hari ini, dan berkelebihan satu pukulan ke atas pemain tuan rumah, Jazz Janewattananond.

“Kemenangan pertama saya…saya gembira serta sangat teruja. Saya bertuah dapat bersaing bersama Thaworn Wiratchant selama empat hari ini dan saya banyak belajar daripada dia. Beliau seorang legenda dan ia memberi motivasi kepada saya untuk menjadi pemain golf yang hebat sepertinya,” kata Fung.

Fung turut memberi penghormatan kepada bapanya, En Ping, yang bersama beliau di pulau berkenaan, yang kebetulan hari ini adalah Hari Bapa yang disambut di seluruh dunia.

“Ia hadiah istimewa buat bapa saya. Saya memenangi kejohanan ADT di Malaysia pada hari ulang tahun kelahiran ibu saya, dan minggu ini meraih kejuaraan pada Hari Bapa adalah sesuatu yang penting. Beliau banyak memberi tunjuk ajar kepada saya sejak kecil. Beliau membawa saya ke padang golf, ajar saya menjadi pemain golf yang bagus dan menjadikan saya seorang yang berkeyakinan dalam menghadapi masa depan.

“Saya hanya mengikut nasihat dan berterima kasih kepadanya. Beliau membimbing saya sehingga ke hari ini untuk memenangi kejohanan berkenaan. Saya pasti dia sangat gembira. Kami melakukannya pada hari yang tepat,” katanya.

Pencapaian keseluruhannya 25 bawah par 269 pada kejohanan itu menyaksikan beliau menyertai pemain Malaysia lain seperti Danny Chia (meraih kejuaraan pada 2002 dan 2015), Airil Rizman Zahari (2007) dan Ben Leong (2008) sebagai pemenang kejohanan utama Jelajah Asia itu.

Berikutan kejayaan itu, Fung membawa pulang US$90,000 (kira-kira RM385,035) untuk melonjak ke kedudukan ke-13 dalam Order of Merit Jelajah Asia, dengan meraih keseluruhan US$122,007 (kira-kira RM521,966).

Beliau menamatkan Order of Merit di tempat ke-12 pada tahun lepas dan ia merupakan pencapaian terbaiknya setakat ini.

Keputusan akhir (Par-71):

———————————

269 – Nicholas Fung (MAS) 66-68-68-67;

270 – Jazz Janewattananond (THA) 67-72-65-66;

271 – Hung Chien-yao (TPE) 66-71-67-67;

272 – Juvic Pagunsan (PHI) 68-67-68-69;

273 – Thaworn Wiratchant (THA) 70-63-70-70;

275 – Prayad Marksaeng (THA) 65-70-71-69, Rashid Khan (IND) 65-70-70-70, Angelo Que (PHI) 65-70-69-71;

276 – Jbe Kruger (RSA) 70-78-71-67, Danny Chia (MAS) 69-68-67-72.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here