Gabenor Mindanao maklumkan tiga militan warga Malaysia terbunuh di Marawi

0
74



KUALA LUMPUR: Gabenor Wilayah Autonomi Muslim Mindanao Filipina, Mujiv Hataman memaklumkan tiga militan warga Malaysia antara yang terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan negara itu di Marawi.

“Ini berdasarkan laporan dari pihak tentera,” kata beliau melalui satu khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Astro Awani hari ini.

Sebelum ini, The Associated Press (AP) dalam temuramah dengan Panglima Filipina, Jeneral Eduardo Ano menyatakan tiga militan warga Malaysia dipercayai terbunuh dalam pertempuran antara pasukan tentera dan kumpulan pemberontak di Marawi.

Selain warga tempatan dan warga Malaysia, turut terbunuh adalah seorang warga Indonesia dan seorang warga Arab Saudi.

Tambah Ano, pihaknya kini sedang giat berusaha bagi memecahkan kepungan yang telah berlarutan selama seminggu di bandar itu.

Menurutnya, kumpulan pemberontak juga merancang untuk membakar bandar Marawi dan membunuh seberapa ramai penduduk Kristian di bandar berhampiran Iligan, sepanjang bulan Ramadan ini.

Tiga rakyat Malaysia itu dipercayai antara 13 militan yang terbunuh dalam pertempuran di selatan Filipina baru-baru ini.

Pertempuran itu berlaku apabila pasukan keselamatan Filipina menyerbu Marawi untuk memburu pemimpin Kumpulan Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon, serta kumpulan Maute, yang mempunyai kaitan denganĀ  kumpulan Daish.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here