Gantung poster di leher ingatkan masyarakat bersedekah, elak pembaziran

0
49



Johor Bahru: “Saya tidak sangka inisiatif berkongsi video pendek mengenai kempen ini mendapat respon baik, bahkan netizen mahu ia dilaksanakan setiap hari,” kata pemilik FB Panah Beracun Senior mengenai Kempen Lebih Bersedekah Elak Pembaziran yang diviralkan sejak kelmarin.

Mohd Aminullah A Wahab, 33, berkata, kempen yang dijalankan di seluruh negara itu membabitkan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM), Majlis Belia Felda Malaysia dan Majlis Belia Negeri Johor bertujuan mengelak orang ramai membeli makanan berlebihan di bulan Ramadan.

Katanya, ia cetusan idea Ketua Penerangan MBM Rizan Hassan sebelum pelaksanaan kempen itu dilakukan selama sejam setengah di seluruh negara bermula jam 5 hingga jam 6.30 petang.

“Respon diberikan peniaga cukup baik dan mereka memahami niat kami melaksanakan kempen itu. Kami bukan mahu mengganggu periuk nasi mereka sebaliknya memberi peringatan kepada orang ramai supaya mengelak pembaziran dan lebihkan sedekah,” katanya ketika berkongsi usaha murni melaksanakan kempen itu.

Sementara itu, pemerhatian menerusi video pendek dikongsikan itu, Panah Beracun Senior bersama belia di daerah Kota Tinggi dan Inspektor Nazliana Akhbar dari Balai Polis Kota Tinggi mengedarkan 500 risalah kempen berkenaan di Kipmart, Kota Tinggi.

Tanpa segan silu, Mohd Aminullah memakai poster bahan kempen yang digantungkan di leher sebelum mengajak orang ramai menyertai kempen motivasi mengelak membeli barangan keperluan sempena Ramadan di luar kawalan, sekali gus mencegah pembaziran.

Kempen itu menunjukkan perkataan ‘Lebihkan Bersedekah, Elakkan Pembaziran’ dengan berkongsi fakta, sepanjang Ramadan setiap tahun 270,000 tan makanan tidak diusik dan boleh dimakan semula.

“Paling penting, kehadiran saya dan rakan belia bersama bahan kempen dapat mengajak orang ramai membaca pelekat digantung di leher.

Usaha ini mampu menyuntik semangat mereka untuk bersedekah,” katanya yang berasal dari Felda Sening, di sini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here