Gara-gara berpakaian wanita, warga Singapura masuk penjara Abu Dhabi

0
19

SINGAPURA: Dua lelaki warganegara Singapura dikenakan hukuman penjara setahun di Abu Dhabi kerana memakai pakaian wanita.

Menurut laporan The Straits Times Singapura , Muhammad Fadli Abdul Rahman, 26, seorang jurugambar fesyen sambilan, melawat Abu Dhabi untuk menyiapkan satu tugasan.

Beliau turut membawa rakan transgendernya, Nur Qistina Fitriah Ibrahim, 37, yang lebih dikenali dengan gelaran Fifi.

Adik Fifi, yang dikenali sebagai Rozy, memberitahu The Straits Times bahawa Fifi tidak menjalani pembedahan seks untuk menjadi seorang wanita dan oleh kerana itu, dokumen peribadinya masih menunjukkan dirinya sebagai lelaki.

Rozy berkata Fifi telah pergi bercuti di Emiriah Arab Bersatu (UAE) empat kali sebelum ini dan kembali ke Singapura dengan selamat dan keluarganya terkejut apabila mendapat sebuah pesanan suara yang memaklumkan dirinya ditahan polis.

Sementara itu abang Muhammad Fadli, Muhammad Saiful Bahri Abdul Rahman dilaporkan berkata Muhammad Fadli hanya memakai sehelai “baju putih biasa” ketika ditahan, berdasarkan gambar yang dihantar olehnya sebelum ditahan.

Muhammad Saiful berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada Kementerian Luar Singapura, dimana Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan, memberitahunya melalui emel bantuan akan diberikan kepada abangnya.

Kedua-dua warganegara Singapura itu ditahan di medan selera sebuah pusat membeli belah di negara itu pada 9 Ogos lalu.

Difahamkan mereka ditangkap kerana didakwa memakai pakaian wanita di khalayak umum dan berperangai tidak sopan.

Berpakaian wanita, aktiviti homoseksual dan transgender dianggap sebagai jenayah di UAE.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here