Garis panduan merotan perlu di sekolah tahfiz – PIBGN

0
51



Satu garis panduan berkaitan pelaksanaan hukuman rotan perlu diwujudkan di sekolah-sekolah tahfiz di negara ini, kata Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan.

Beliau berkata garis panduan berhubung perkara itu ketika ini hanya melibatkan sekolah di bawah Kementerian Pendidikan, dan tidak melibatkan sekolah-sekolah tahfiz yang di bawah seliaan Jabatan Agama.

“Saya difahamkan terdapat amalan merotan pelajar di sekolah tahfiz, tapi sebaiknya, ia perlu dilaksanakan dengan cara yang elok, bukannya mendatangkan kecederaan dan maut,” katanya kepada Bernama semalam.

Beliau mengulas mengenai kes pelajar sekolah tahfiz di Johor, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi yang meninggal dunia petang tadi akibat kecederaan teruk setelah didakwa dipukul pembantu warden di sekolah itu.

Pada masa sama, Mohamad berkata pihak berkuasa juga perlu mengkaji semula kaedah pembelajaran di sekolah-sekolah tahfiz untuk melihat kerelevanan merotan pelajar dan menggantikannya dengan cara yang lebih wajar dalam mendisiplinkan pelajar.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Bagi Pendidikan Malaysia (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim pula menyarankan pihak sekolah menyemak prosedur pengambilan kakitangan dengan memperketatkan syarat serta menyelidik latar belakang pemohon terlebih dahulu bagi mengelak kejadian seumpama ini berulang.

“Tidak salah menghukum pelajar tetapi jangan sampai memudaratkan mereka sehingga mengundang maut. Kenapa perkara seumpama ini berlaku?. Pihak sekolah juga perlu pantau tingkah laku kakitangan terutama warden asrama dan guru,” katanya.

Menurut beliau, keadaan semakin membimbangkan sekiranya perkara seumpama ini berulang sehingga boleh menyebabkan ibu bapa hilang kepercayaan terhadap institusi sekolah aliran agama.

Beliau juga mahu ibu bapa mengambil berat hal ehwal anak-anak dan memandang serius sekiranya anak-anak mengadu mengenai sebarang situasi tidak menyenangkan yang berlaku ketika mereka berada di asrama sekolah terbabit.

“Jangan ambil sikap tidak peduli jika anak-anak mengadu walaupun bagi kita perkara itu remeh. Bagi saya, anak-anak tidak akan mengadu sekiranya perkara tersebut tidak mengganggu pembelajaran mereka,” katanya.

– Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here