Gelisah nanti jasad anak

0
15



Dungun: “Saya tidak dapat tidur dan tak berselera makan sejak petang semalam (kelmarin) kerana memikirkan anak yang masih belum ditemui.

“Selagi jasadnya belum ditemui selagi itu saya akan menunggu di tepi sungai ini,” kata Che Wan Othman Che Wan Sulong, 50, selepas anaknya, Che Wan Haziq Haikal Che Wan Othman, 14, dikhuatiri lemas di sungai Kampung Delong, di sini, petang kelmarin.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Pulut, di sini, tenggelam di sungai berkenaan ketika cuba mengambil bola yang terjatuh ke dalam sungai itu jam 6.45 petang.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan bermain bola sepak bersama beberapa rakannya di kawasan berpasir di tebing sungai berkenaan.

“Sebelum keluar bermain, anak saya juga sempat meraikan ulang tahun kelahiran adiknya di rumah dan dia ada minum sedikit minuman koktel kegemarannya.

“Dia kemudian menyimpan air di dalam peti ais sambil berpesan kepada saya supaya jangan minum kerana mahu minum kemudian,” katanya.

Menurut Che Wan Othman, dia tahu anaknya itu keluar bermain bola sepak bersama rakan tetapi tidak sangka mereka bermain di tepi sungai dan berhampiran pula dengan kawasan lubuk yang sememangnya dilarang untuk mandi kerana berbahaya.

Katanya, anaknya itu tidak pernah bermain bola berhampiran sungai terbabit kerana dia sememangnya tidak membenarkannya bermain di kawasan itu.

“Saya sangkakan dia pergi main bola sepak di padang dan kalau tahu mereka ke sungai memang saya tidak benarkan,” katanya.

Menurutnya, dia mempunyai empat anak dan Haziq adalah anak lelaki tunggal yang sangat mesra dengannya.

“Macam mana pun saya tetap akan tunggu di sini, saya mahu tunggu dan lihat juga anak saya,” katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Delong.

Rakan mangsa, Aiman Zainal Rosdi, 13, berkata, Haziq tersepak bola masuk ke dalam sungai lalu terjun serta berenang untuk mengambil bola itu sebelum dilihat terkapai-kapai dan tenggelam.

Menurutnya, dia yang menyaksikan kejadian itu kemudian terjun untuk menyelamatkan mangsa tetapi juga hampir menjadi mangsa.

Katanya, seorang lagi rakan mereka, Che Wan Syafiq Che Wan Ramli, 13, menggunakan perahu berusaha menyelamatkan kedua-dua mangsa.

“Che Wan Syafiq hanya berjaya menyelamatkan saya manakala Haziq yang tenggelam tidak dapat diselamatkan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Penguasa Bomba Mohd Amin Zakaria dari Balai Bomba dan Penyelamat Dungun yang juga ketua operasi berkata, kawasan mencari dan menyelamat mangsa diperluas dan pelbagai usaha dilakukan pihaknya untuk mengesannya,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berdepan kesukaran kerana arus sungai agak deras dan keadaan dasar yang berbatu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here