Gembira dapat sambut Ramadan bersama anak

0
62



Kuantan: “Allah SWT makbulkan doa saya untuk menyambut Ramadan bersama anak kesayangan apabila ditemui selamat selepas 13 hari dilaporkan hilang,” kata Halimah Ahmad Sah, 44, yang lega selepas anak perempuannya Nuraishanida Daud, 18, ditemui selamat.

Nuraishanida anak keempat daripada enam beradik yang tinggal di Kampung Sri Damai, di sini, dihantar pulang seorang lelaki menaiki sebuah motosikal bersama beberapa individu lain pada jam 2.50 pagi, kelmarin.

Halimah berkata, dia bersyukur kepada Allah SWT apabila anak perempuannya ditemui sihat dan mengucapkan ribuan terima kepada individu menghantar pulang gadis itu ke rumah.

Katanya, sejak kehilangan Nuraishanida pada 12 Mei lalu hidupnya tidak tenteram kerana terlalu memikirkan nasib anak perempuannya itu selepas usaha mencari menemui jalan buntu.

“Nuraishanida memberitahu dia tidak hilang tetapi keluar mencari pekerjaan di Johor dan dia mengambil keputusan pulang ke rumah selepas ‘kehilangannya’ tular di media sosial.

“Apa pun kami sekeluarga bersyukur kerana dia (Nuraishanida) pulang ke rumah. Jadi, dapatlah kami sekeluarga menyambut Ramadan bersama tidak lama lagi,” katanya, semalam.

Gadis itu dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Sri Damai, 12.30 tengah malam pada 12 Mei lalu sebelum keluarganya berusaha mengesan di sekitar bandar ini namun gagal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here