Generasi muda perlu manfaat pentas penerangan TN50

0
81



KUANTAN: Generasi muda dinasihatkan untuk memanfaatkan pentas penerangan aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) sebagai medium melahirkan pandangan dan mencetuskan idea yang boleh membantu mencorak hala tuju negara.

Presiden Persatuan Belia Generasi Glokal Bentong, Amir Rozaini Ahmad Rani berkata generasi muda pada masa kini merupakan golongan yang bakal melalui zaman 2050 menyebabkan mereka sebagai ‘orang bekepentingan’ dalam merealisasikan TN50.

“Kerajaan bersikap terbuka apabila memberi ruang dan peluang kepada generasi muda untuk sama-sama menentukan masa depan negara. Tidak seharusnya peluang ini dibiarkan begitu sahaja.

“Bukan hanya pendapat, idea atau pandangan, malah jika ada kebimbangan tertentu juga boleh disuarakan. Ini platform yang sebetulnya, bukan hanya bercakap di belakang atau meluahkan di media sosial dengan harapan ia didengar,” katanya di sini, hari ini.

Amir Rozaini pada masa sama, berkata kerajaan juga harus berlapang dada jika ada di antara pandangan itu seolah-olah mengkritik kerana ia merupakan pandangan anak muda, yang berkemungkinan melihat agenda itu dari sudut berbeza.

Beliau berkata jika ada perbezaan pendapat, perkara itu seharusnya dilihat dari sudut membina yang boleh diperbaiki, atau jika ia berlaku disebabkan kurangnya pemahaman, maka perkara itu boleh diatasi secara holistik.

“Kerajaan perlu bersedia mendengar pandangan anak muda. Jangan ketepikan pandangan dan idea mereka. Yang penting, hargai usaha mereka yang menunjukkan minat untuk bersama-sama kerajaan dalam mencorakkan masa depan negara.

“Mereka yang berani melontarkan pandangan ini sudah pasti terdiri daripada mereka yang peduli tentang perkembangan negara. Mereka ini boleh sahaja memeluk tubuh dan hanya mengikut apa sahaja yang ditetapkan tetapi memilih untuk memainkan peranan dalam isu ini,” katanya.

Amir Rozaini yang juga Pengerusi Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia kawasan Bentong, berharap lebih ramai anak muda akan menunjukkan minat ke arah pembangunan negara supaya Malaysia mempunyai pemimpin yang berwibawa pada masa depan.

Beliau juga berharap anak muda lebih matang dalam menerima pandangan serta berita dan tidak mudah terpengaruh dengan pihak yang tidak menyokong perjalanan TN50, tanpa melakukan usaha untuk menjadi sebahagian daripadanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here