GLC, firma swasta disaran bina rumah orang miskin

0
59



Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta disaran membantu membaik pulih atau membina rumah baharu kepada golongan miskin yang memerlukan kediaman yang selesa.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, walaupun kerajaan mempunyai program tertentu untuk menyediakan rumah kepada golongan tersebut namun jumlah mereka adalah ramai.

“Melalui sumbangan sektor korporat termasuk GLC ini, ia akan mempercepatkan penyediaan rumah kepada golongan asnaf dan miskin ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Kesyukuran Projek Baiti Jannati 2017 peringkat negeri Kelantan, hari ini.

Pada majlis tersebut, Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui Program Baiti Jannati menyumbang 15 buah rumah kepada 15 keluarga miskin di negeri ini.

Mustapa yang juga anggota Parlimen Jeli berkata kerjasama antara kerajaan, sektor korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) didapati berkesan dalam membantu rakyat dan ia dapat dilihat seperti dalam pembinaan rumah kekal baharu untuk penduduk yang kehilangan rumah ketika banjir besar di Kelantan pada 2014.

Beliau menyambut baik usaha TNB menyumbangkan rumah kepada golongan miskin dalam usaha mewujudkan masyarakat sejahtera.

Sementara itu, Pengurus Besar TNB Kelantan Datuk Md Yuslan Md Yusof berkata pihaknya menyumbang 20 buah rumah untuk Kelantan pada tahun ini iaitu 15 rumah telah siap manakala lima rumah lagi dijangka siap pembinaannya menjelang Hari Raya Aidilfitri bulan depan.

Beliau berkata rumah yang dibina dengan kos RM50,000 sebuah itu dilengkapi tiga bilik tidur, ruang tamu, dapur dan bilik air.

Katanya sejak program tersebut diperkenalkan di Kelantan pada 2008, sebanyak 61 buah rumah telah dibaik pulih atau dibina baharu melibatkan kos RM2.77 juta.

Seorang penerima rumah tersebut, Borhan Md Nor, 37, yang lebih 15 tahun tinggal di rumah sewa, bersyukur dapat mendiami rumah sumbangan TNB itu bersama isteri dan tiga orang anak.

– Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here