Guan Eng dedah perincian hutang RM1 trilion

0
577
Advertisement

KUALA LUMPUR: Hutang Negara mencecah RM1.08 trilion atau 80.3 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia setakat 31 Disember 2017.

Menurut Menteri Kewangan Lim Guan Eng, dari jumlah itu, RM686.8 bilion merupakan hutang kerajaan persekutuan bersamaan 50.8 peratus dari KDNK.

“Tambahan, kerajaan komited untuk membayar hutang Jaminan Kerajaan dalam beberapa entiti yang tidak mampu membayar hutang. Ia merangkumi RM199.1 bilion atau 14.6 peratus berbanding KDNK,” katanya dalam kenyataan.

Jaminan kerajaan termasuk entiti seperti Danainfra Nasional Bhd (RM42.2 billion), Govco Holdings Bhd (RM8.8 billion), Prasarana Malaysia Bhd (RM26.6 billion), Malaysia Rail-link Sdn Bhd (RM14.5 billion) dan 1MDB dengan jangkaan RM38 bilion.

Hutang itu mencecah angka RM1 trilion apabila kerajaan persekutuan komited untuk melakukan bayaran pajak, termasuk sewaan, penyelenggaraan dan caj lain, bagi sebahagian besar projek Kerjasama Awam Swasta (PPP).

Ia termasuk pembinaan sekolah, hostel, jalan raya, balai polis, hospital dan lain-lain, melibatkan jumlah hutang RM201.4 bilion atau 14.9 peratus berbanding KDNK.

Guan Eng berkata kerajaan akan sentiasa meletakan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dalam menyelesaikan bebanan hutang negara.

“Kita lebih rela berdepan realiti pahit ini berbanding membisu dan membiarkan ia terbongkar kemudian hari.

“Asas ekonomi kita masih kukuh, sektor kewangan stabil dan sektor perbankan mempunyai modal cukup.

“Kerajaan akan melaksanakan pentadbiran berdasarkan prinsip Berdaya Saing, Akauntabiliti, dan Telus (CAT),” Katanya sebagai menjawab kenyataan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib dalam kenyataan media berkata pembongkaran oleh kementerian kewangan berkaitan kedudukan hutang negara hanya mencetuskan kegusaran pasaran dan ketakutan pelabur.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here