Gubal peraturan elak drama

0
206
Advertisement



KUALA TERENGGANU: Bagi mengelak ‘drama’ berebut pemain antara pasukan negara dan negeri atau kelab menjadi barah, bekas Ketua Unit Kejurulatihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Ismail Zakaria, tampil menyuarakan pandangan mahukan badan induk bola sepak negara segera menggubal peraturan atau undang-undang yang mewajibkan pemain perlu taat setia kepada pasukan negara selepas dipilih menyarung jersi kebangsaan.

Beliau berkata, dalam peraturan itu juga perlu ada akujanji antara persatuan atau kelab dengan badan induk bola sepak negara itu bagi memastikan hajat pengendali negara untuk mengambil seseorang pemain tidak terhalang kerana keangkuhan sesebuah persatuan atau kelab yang enggan melepaskan pemain mereka.

“Kini sudah tiba masanya FAM bertegas dan mengkaji semula termasuk menggubal undang-undang berkaitan perkara itu (mengambil pemain), kerana pada pandangan saya ia bakal menjadi lebih parah kepada skuad negara pada masa akan datang jika perkara itu tidak dibendung segera.

“Selain itu sebagai badan induk bola sepak negara, sepatutnya mereka mempunyai kuasa mutlak untuk mengambil seseorang pemain untuk mewakili negara pada bila-bila masa sama ada dalam pertandingan sebenar ataupun dalam aksi persahabatan.

“Ini kerana setiap persatuan negeri atau kelab adalah bernaung di bawah FAM dalam Liga Malaysia (Liga-M) dan bukannya dalam Liga Singapura sebagai contoh, tapi yang berlaku adalah sebaliknya, oleh sebab itu jika perkara ini berterusan ia boleh merosakkan sistem bola sepak negara untuk menuju ke arah lebih maju,” kata Ismail.

Sukan NSTP semalam melaporkan bekas orang kuat FAM, Datuk Che Mat Jusoh berasa pelik selepas pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee bagaikan peminta sedekah apabila terpaksa meraih simpati dengan persatuan negeri atau kelab bagi mendapatkan pemain yang diidamkan.

Malah lebih parah ada persatuan bola sepak negeri enggan melepaskan pemain mereka dengan alasan untuk memberi tumpuan dalam liga tempatan berbanding maruah negara dalam kancah saingan Sukan Asia di Jakarta dan Palembang, Indonesia minggu depan.

“Sekarang saya lihat ada persatuan atau kelab tidak menghormati FAM sebagai badan induk bola sepak negara, saya boleh simpulkan sebagai mereka tidak berpegang kepada Rukun Negara, tidak meletak negara di depan sebaliknya lebih pentingkan diri sendiri.

“Selain itu mungkin ada antara mereka tidak rasa apa-apa jika pasukan negara dimalukan atau menjadi pasukan belasahan di peringkat antarabangsa, ini adalah maruah negara, oleh itu hormatilah negara dan lepaskanlah dengan hati yang terbuka pemain yang sudah disenaraikan walaupun memerlukan khidmat mereka.

“Mengenai hukuman pula saya mencadangkan hanya persatuan negeri atau kelab saja yang harus dikenakan tindakan dan bukannya pemain kerana yang membuat keputusan adalah pihak pengurusan bukan pemain,” kata Ismail yang menyatakan tiada kuasa ‘veto’ FAM menyebabkan isu itu terus berulang.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here