Guna gambar dalam berita palsu, Siti Nurhaliza tidak teragak-agak ambil tindakan

0
161
Advertisement

PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa kesal dengan tindakan sebuah blog yang menggunakan wajahnya dan menyebarkan berita palsu, hanya untuk mendapatkan perhatian netizen.

Berita itu, yang turut menggunakan nama sebuah penerbitan tempatan, mendakwa Siti, yang namanya dieja sebagai ‘Sita’ dalam artikel itu, akan disaman kerajaan kerana terbabit dalam pelaburan haram.

Siti, yang baru melahirkan anak sulung tiga minggu lalu, memuat naik penjelasan berhubung berita kontroversi yang kononnya berkaitan dengan dirinya seperti yang dilaporkan sebuah blog, ke akaun laman sosial miliknya sebentar tadi.

“Saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya berita tersebut, jika ia merujuk kepada saya.

“Apakah tujuan yang cuba dibuat oleh pihak yang menulis berita tersebut, saya tidak pasti namun menggunakan wajah saya dan nama Nurhaliza telah mengundang kekeliruan dan menimbulkan pertanyaan banyak pihak mengenai kesahihan berita tersebut.

“Saya berharap agar pihak yang membuat berita palsu ini segera memadamkan wajah dan nama saya seperti yang tertera dalam petikan di blog tersebut,” tulis Siti.

Siti juga memaklumkan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika blog itu masih terus menggunakan nama dan gambarnya.

“Jika perkara ini berlanjutan, saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya yang diperuntukkan di bawah undang-undang yang berkaitan,” tulisnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here