Hadi tak sabar menggegar

0
15
Advertisement



KUALA LUMPUR: Peluang menjalani latihan bersama kelab Liga J2, Roasso Kumamoto akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh penyerang skuad Bawah 19 tahun negara (B-19), Hadi Fayyadh Abd Radzak.

Meskipun hanya akan mengharungi sesi latihan selama seminggu, namun penggempur Johor Darul Ta’zim II (JDTII) bersedia untuk memberikan yang terbaik sambil menimba pengalaman baharu di negara yang berjaya mara ke saingan Piala Dunia sebanyak enam kali itu.

“Saya begitu gembira apabila terpilih untuk menjalani latihan bersama Roasso Kumamoto di Jepun dan saya berterima kasih kepada pihak Yakult Malaysia yang membantu dalam urusan saya ke sana.

“Selain itu, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan saya, JDTII kerana memberi pelepasan untuk saya menjalani latihan di sana.

“Ini adalah satu pengalaman yang berharga dan saya akan berusaha bersungguh-sungguh sepanjang tempoh latihan untuk mengutip sebanyak mana ilmu yang mungkin,” katanya.

Penyerang berusia 18 tahun itu akan bertolak ke Kumamoto, malam Ahad ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada menjelaskan persembahan memberangsangkan yang diperagakan Hadi pada aksi Piala Sanix, Mac lalu berjaya menarik minat pasukan terbabit.

“Saya difahamkan pasukan terbabit berminat untuk memanggil Hadi menjalani latihan bersama selepas melihat mutu permainan Hadi semasa kami menaja pasukan Malaysia menyertai saingan Piala Sanix.

“Selain Hadi, mereka juga tertarik dengan persembahan beberapa pemain lain dan bersedia untuk memberikan peluang sama kepada beberapa pemain terbabit pada masa akan datang.

“Yakult Malaysia akan terus menyokong perkembangan pemain bola sepak Malaysia di Jepun dan akan membantu seramai mungkin bakat-bakat muda yang ada di Malaysia untuk diberikan peluang menimba pengalaman di Jepun,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here