Hadiah bulan mulia

0
52



Kuala Nerus: Air mata Ramadan menyambut kepulangan dua nelayan tempatan apabila selamat tiba ke pangkuan keluarga masing-masing selepas dibebaskan sebagai tahanan kerana menceroboh perairan negara Indonesia, 8 April lalu.

Munira Ramli, 34, isteri kepada Fadli Jaafar, 41, seorang daripada nelayan terbabit berkata, dia terharu dan sebak sebaik melihat suaminya melangkah keluar dari van yang membawanya bersama seorang lagi tahanan, Abdul Halim Nik, 43, tiba di pekarangan Dataran Permata, di sini, jam 12 tengah malam kelmarin.

Turut menyambut ketibaan nelayan terbabit, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan isteri Toh Puan Seri Halina Zakaria.

Menurut Munira, kepulangan suaminya ibarat hadiah paling bermakna pada Ramadan tahun ini kerana tidak menyangka dapat menjalani ibadah puasa bersama suami seperti tahun sebelum ini.

Katanya, sebelum ini dia yang mempunyai empat anak iaitu Muhammad Adam Hafizudin, 8, Muhammad Azam Basri, 6, Muhammad Arif Amri, 3, dan Amira Alisha, 12 bulan, mengakui kesedihan apabila secara tiba-tiba suami yang menjadi tempat keluarga bergantung ditahan pihak berkuasa negara jiran berkenaan.

“Saya buntu memikirkan bagaimana untuk menjalani kehidupan tanpa suami, apatah lagi ketika ini kami perlu melakukan persiapan menyambut Ramadan dan Aidilfitri.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kepada Allah kerana memakbulkan usaha kami melakukan solat hajat dan tidak berhenti berdoa supaya suami dibebaskan,” katanya.

Katanya, sepanjang suaminya berada dalam tahanan, dia menerima panggilan telefon sebanyak tiga kali menyebabkan kerisauan dan kerinduan terubat apabila mengetahui keadaan lelaki itu.

Pembebasan dua nelayan terbabit dilakukan selepas rundingan kerajaan negeri dengan kerajaan Indonesia melalui bantuan Wisma Putra dan Konsulat Malaysia di Indonesia.

Sementara itu, Fadli berkata, kejadian itu menyebabkan dia serik untuk turun ke laut dan bercadang mahu melupakan seketika kerjaya diceburinya sejak berusia belasan tahun.

Berkongsi pengalaman sebagai tahanan, Fadli berkata, kehidupan sebagai penghuni lokap menjadi sejarah hitam yang sukar untuk dilupakannya.

“Seumur hidup saya tidak terfikir akan melalui kehidupan seperti itu. Saya bersama Abdul Halim dan empat lagi rakan, Mohd Zaidi Mohammad, 23, dan Abdul Rashid Nik, 52, dari Kampung Seberang Takir serta Firdaus Mohamad, 27, dari Kemaman termasuk seorang warga Thailand ditahan di Kem Tentera Laut Pulau Tarempa di Kepulauan Anambas dalam satu lokap bersama 20 tahanan lain termasuk nelayan Vietnam,” katanya.

Mengimbau kembali peristiwa itu, Fadli berkata, dia bersama Abdul Halim dan empat rakan ditahan ketika berada pada jarak lima batu nautika melepasi garisan sempadan perairan antarabangsa.

Katanya, ketika itu mereka baru bersiap untuk menurunkan bubu sebelum didatangi kapal tentera laut Indonesia.

“Memang kami tidak sedar berada dalam perairan Indonesia sehinggalah dikejutkan dengan kehadiran kapal Tentera Laut Indonesia,” katanya.

Ahmad Razif mengingatkan nelayan supaya tidak melakukan aktiviti menangkap ikan di luar perairan negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here