'Hadiah terakhir' Sandro buat Lang Merah

0
34
Advertisement



PENYERANG import Kedah, Sandro da Silva bertekad menjuarai Piala Malaysia sebagai sumbangan terakhir kepada pasukan itu serta hadiah untuk penyokong setia skuad Helang Merah sebelum dia mengangkat kaki pada hujung musim ini.

Sandro yang menyertai Kedah sejak 2015 dan membantu pasukan itu menjuarai semua pertandingan domestik kecuali Liga Super, yakin mereka mampu mengulangi kejayaan menjulang Piala Malaysia pada 2016 jika semua pemain masih dahagakan kejayaan.

“Saya dapat rasakan ini adalah musim terakhir bersama Kedah. Malah, saya sudah mendengar daripada ‘orang dalam’ (Persatuan Bolasepak Kedah) sendiri bahawa mereka tidak akan menyambung kontrak saya apabila ia berakhir hujung November ini.

“Sebagai pemain profesional, saya menerima apa sahaja keputusan dengan tangan terbuka. Jika setakat ini sahaja jodoh saya bersama mereka, saya akur.

“Tapi, sebelum meninggalkan pasukan itu, saya mahu pergi dengan kejayaan bagi membalas jasa persatuan serta hadiah terakhir untuk penyokong yang memberi sokongan tidak berbelah-bahagi selama saya di sini.

“Piala FA sudah terlepas dan impian untuk menjuarai Liga Super juga turut berkubur, yang tinggal kini hanya Piala Malaysia. Saya harap kami dapat menjuarainya,” kata Sandro.

Pemain kelahiran Brazil itu percaya Helang Merah masih memiliki kemampuan untuk menjulang piala berprestij itu jika pemain mahukannya.

“Ia adalah musim yang sukar untuk Kedah tahun ini. Sejak awal, segala-galanya tidak berjalan lancar menyebabkan prestasi kami terumbang-ambing dan tidak konsisten.

“Banyak masalah berlaku dalam pasukan ini yang tidak boleh saya dedahkan. Namun, saya boleh simpulkan ia menyumbang kepada kegagalan kami dalam liga.

“Saya harap pemain memulakan langkah baru untuk menghadapi Piala Malaysia kerana kami sebenarnya mampu lakukan jika pemain masih dahagakan kejayaan, lebih fokus dan bermain dengan bersatu hati.

“Tapi, maaf cakap, jika sikap sama yang ditunjukkan sepanjang liga masih diulangi, Kedah boleh lupakan sahaja Piala Malaysia musim ini,” tegas Sandro.

Kedah, finalis tahun lalu, berada dalam kumpulan C bersama juara bertahan, Johor Darul Ta’zim, Kelantan dan MIFA.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here