Hafizh buru kebangkitan di Jerman

0
93
Advertisement



KUALA LUMPUR: Hafizh Syahrin Abdullah mahu kembali berada dalam kedudukan penamat di kelompok 15 terbaik pada perlumbaan pusingan kesembilan MotoGP di Grand Prix (GP) Jerman, hujung minggu ini.

Kali terakhir pelumba Monster Yamaha Tech3 menemui penamat di kelompok mata itu adalah 3 Jun lalu di GP Itali, apabila menamatkan perlumbaan di tangga ke-12 untuk meraih empat mata berharga.

Dua pusingan selepas itu – GP Catalunya dan Belanda –  tidak memihak kepada Hafizh dengan terbaru di Sirkit TT Assen dua minggu lalu, berakhir dengan berada di kedudukan 18 selepas bermula dari petak ke-15.

“Saya amat menantikan hujung minggu ini!,” kata Hafizh yang kini berada di tangga ke-17 dengan 17 mata keseluruhan selepas lapan pusingan musim ini.

“Saya mahu meningkatkan kemampuan diri dan cuba untuk kembali dalam kedudukan kutipan mata bagi mencabar semula kedudukan teratas dalam senarai muka baharu terbaik.

“Saya berharap cuaca yang baik dan kemudian kita lihat apa yang boleh dilakukan.”

Dalam kedudukan carta muka baharu terbaik bagi kelas perdana itu, Hafizh ketika ini ketinggalan dua mata di belakang pendahulu dari Itali, Franco Morbidelli yang mengumpul 19 mata manakala tempat ketiga masih dihuni Takaaki Nakagami  (Jepun), 10 mata.

Dalam pada itu, Hafizh, 24, menjangkakan cabaran lebih sengit bakal dilaluinya di Litar Sachsenring yang dianggapnya lebih teknikal.

“Jerman adalah sebuah trek yang berbeza daripada lain, ia kecil dan teknikal. Saya akan cuba berusaha gigih sebelum perlumbaan Ahad ini bagi mempersiapkan diri untuk perlumbaan panjang 30 pusingan.

“Saya berharap dapat menemui keserasian dengan motosikal seperti di awal pusingan sebelum ini,” katanya.

 

INFO

Jumlah pusingan lengkap perlumbaan bagi kelas MotoGP

1. GP Qatar – 22 pusingan

2. GP Argentina – 25 pusingan

3. GP Amerika Syarikat – 20 pusingan

4. GP Sepanyol – 25 pusingan

5. GP Perancis – 27 pusingan

6. GP Itali – 23 pusingan

7. GP Catalunya – 24 pusingan

8. GP Belanda – 26 pusingan

9. GP Jerman – 30 pusingan

10. GP Republik Czech – 21 pusingan

11. GP Austria – 28 pusingan

12. GP British – 20 pusingan

13. GP San Marino – 27 pusingan

14. GP Aragon – 23 pusingan

15. GP Thailand – 26 pusingan

16. GP Jepun – 24 pusingan

17. GP Australia – 27 pusingan

18. GP Malaysia – 20 pusingan

19. GP Valencia – 27 pusingan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here