Hafizh mahu terus gegar di GP Austria

0
343
Advertisement



GRAND Prix (GP) Republik Czech menyaksikan Hafizh Syahrin Abdullah mahu meneruskan penguasaannya dalam carta muka baharu terbaik dalam kelas perdana itu.

Hafizh yang mewakili pasukan Monster Yamaha Tech3 dalam kelas MotoGP menamatkan perlumbaan di tempat ke-14, namun pencabar terdekatnya yang baru kembali cergas daripada kecederaan, Franco Morbidelli jelas memberi saingan.

Pelumba Itali itu menamatkan 21 pusingan perlumbaan di tempat ke-13 sekali gus menyaksikan Hafizh hanya berada di puncak carta dengan perbezaan dua mata.

Justeru, Hafizh mengharapkan pusingan ke-11 musim di GP Austria, hujung minggu ini dapat membantunya untuk menjarakkan diri dengan Morbidelli.

“Saya mengumpul dua lagi mata dan ia masih tidak jauh dengan Morbidelli. Saya akan cuba melakukan perlumbaan yang baik minggu ini,” katanya yang mengumpul 24 mata

Sementara itu, pelumba Moto3 negara dari pasukan PETRONAS Sprinta Racing, Adam Norrodin mengakui melakukan kesilapan besar dalam kariernya apabila gagal menamatkan perlumbaan selepas terjatuh pada pusingan terakhir perlumbaan.

Adam yang memulakan perlumbaan dari petak ke-21 berjaya meletakkan dirinya dalam kelompok 15 terbaik yang menjanjikan kutipan mata namun atas kesilapan itu, dia gagal menamatkan 18 pusingan saingan di Sirkit Brno.

“Saya melakukan kesilapan bodoh dan saya rasa ia tidak cukup dengan hanya memohon maaf saja,” katanya yang setakat ini mengumpul 24 mata untuk berada di tangga ke-20 selepas 10 pusingan musim 2018.

“Saya melakukan permulaan perlumbaan yang baik dan kemudian dapat berada di posisi yang baik. Saya berusaha gigih dan berjaya berada di kedudukan ke-14.

“Kemudian pada baki dua pusingan terakhir, saya melakukan kesilapan paling besar, saya fikirkan ia adalah pusingan terakhir, jadi saya memperlahankan pendikit. Akhirnya saya hilang posisi dan saya memohon maaf kepada semua.

“Minggu ini kami mempunyai satu lagi perlumbaan dan saya mahu melakukan yang lebih lagi bagi menebus kesilapan yang dilakukan kepada pasukan. Saya tak mahu mengecewakan mereka sekali lagi. Saya akan cuba memberi lebih tumpuan dan cuba sebaik mungkin minggu ini.”

Dalam kelas Moto2, wakil negara yang bersama pasukan IDEMITSU Honda Team Asia, Khairul Idham Pawi menamatkan saingan di tempat ke-20.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here