Hafizuddin belum menyerah kalah

0
49
Advertisement



KUALA LUMPUR: Penjaga gol skuad hoki negara, Muhammad Hafizuddin Othman percaya peluangnya beraksi di Sukan Asia Jakarta-Palembang, bulan depan masih belum tertutup meskipun namanya sekali lagi tercicir untuk beraksi di siri perlawanan persahabatan di Australia.

Seramai 20 pemain terpilih untuk beraksi lima perlawanan persahabatan bersama skuad kebangsaan Australia bermula Selasa ini yang dilihat menjadi medan terakhir untuk ketua jurulatih, Stephen Van Huizen memilih 18 pemain terbaik mengibarkan cabaran di Jakarta.

Penjaga gol utama negara, S Kumar dan Hairi Abdul Rahman sekali lagi terpilih selepas kedua-duanya turut menjadi pilihan Stephen beraksi pada siri perlawanan persahabatan di Argentina, Mei lalu.

“Saya memang berharap terpilih ke Australia kerana tidak terpilih ketika perlawanan persahabatan dengan Argentina.

“Lagipun ini adalah fasa akhir untuk jurulatih memilih 18 pemain terbaik dan saya juga memang ingin beraksi di Sukan Asia kerana tidak beraksi di kejohanan itu.

“Walaupun tidak terpilih, saya tetap akan cuba memberi kepercayaan kepada jurulatih pada baki sesi latihan selama dua minggu sebelum bermulanya Sukan Asia,” katanya.

Mengakui kecewa dengan perkembangan itu, Hafizuddin tetap tidak mahu berputus asa.

“Tahun ini memang saya ingin beraksi di Sukan Asia dan Piala Dunia. Saya akan cuba berikan yang terbaik,” katanya.

Hafizuddin sering diberi peranan utama ketika Kumar menjalani hukuman penggantungan sementara berikutan gagal ujian doping di Piala Asia di Dhaka, Bangladesh tahun lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here