Haikal Firdaus hafaz al-Quran sejak usia 4 tahun

0
17


HAIKAL Firdaus Mohd Jaafarudin.

KUALA LUMPUR: Bacaan dan hafazan yang lancar dan menyentuh hati membolehkan Haikal Firdaus Mohd Jaafarudin diumumkan sebagai juara musim ketujuh program siaran TV3, Qari Jr 2017.

Sebagai pemenang, kanak-kanak berusia 12 tahun itu membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta pingat dan trofi. Selain itu, dia turut memenangi pakej umrah untuk dua orang tajaan Almas Beauty & Health Sdn Bhd.

Menjadikan al-Quran sebagai teman karib, Haikal sebenarnya mula menghafaz ayat suci sejak berusia empat tahun lagi, hasil didikan nenek dan datuknya. Kini, dirinya sudah pun menghafaz kesemua 30 juzuk al-Quran yang juga kitab suci umat Islam itu.

Pada saingan akhir terbabit, Harith pula pula diumumkan sebagai pemenang kedua yang membolehkannya membawa pulang wang tunai RM5,000.

Dia turut menerima pakej kembara bersama kapal persiaran untuk dua orang. Manakala tempat ketiga disandang oleh Affan bersama wang tunai RM3,000.

Sementara itu, Eka dan Jiha masing-masing menerima hadiah sagu hati iaitu wang tunai RM1,000. Kesemuanya turut membawa pulang pingat dan trofi.

Pada peringkat akhir persaingan, peserta perlu melalui dua pusingan. Pada pusingan pertama, masing-masing diuji dengan bacaan secara tarannum mujawwad.

Pada pusingan kedua pula mereka dikehendaki membaca surah yang diberi dengan bacaan tarannum murattal, seterusnya menjawab soalan detik tajwid mengenai sifat huruf.

Pertandingan akhir berkenaan mengangkat tema Syurga dan Neraka.

Peserta dinilai sepenuhnya oleh juri profesional iaitu Ustaz Tirmizi Ali yang juga Guru Besar bagi Qari Jr 2017. Beliau ditemani juri jemputan, Dr Mohd Loqman Ibrahim.

Setiap bacaan peserta dinilai berdasarkan tajwid (40 peratus), taranum suara (40 peratus), serta kefahaman tajwid dan persembahan (20 peratus).

Program berkenaan turut dijayakan oleh Fakhrul Radhi dan Hazwani Helmi selaku hos musim ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here