Hairul 'tambah otot'

0
85



Perubahan bentuk badan Hairul Azreen menjadi ‘sado’ atau sasa menjadi bualan hangat pengguna media sosial yang kagum dengan penampilan baru pelakon itu.

Hairul, 28, berkata, tujuan sebenar dia membina badan bagi menunjukkan kepada anaknya, Yusuf Iskandar apabila dia sudah besar nanti.

“Saya cuma mahu menunjukkan kepada Yusuf yang saya pernah membina badan. Tak sangka saya turut menang kategori Selebriti Lelaki Bentuk Badan Segak Anugerah Cantik EH! 2017,” katanya.

Pada masa sama, suami kepada pelakon Hanis Zalikha ini meneruskan latihan kecergasan untuk lakonannya dalam filem aksi yang akan memulakan penggambaran selepas Aidilfitri ini.

“Filem ini membabitkan produksi besar dan turut memerlukan saya menjalani latihan kecergasan.

“Persiapan untuk watak juga agak berbeza membuatkan saya teruja,” katanya yang baru selesai penggambaran filem Pencuri Hati Mr Cinderella, Februari lalu.

Dalam pada itu, Hairul menepis tuduhan pihak tertentu yang mendakwa dia menumpang nama isteri dan anak untuk mencari sumber rezeki.

“Saya berasal daripada keluarga susah dan kehidupan bertambah baik selepas menang Fear Factor beberapa tahun lalu.

“Wang kemenangan itu saya gunakan untuk memulakan perniagaan bersama Hanis dan rezeki bertambah selepas kami mendirikan rumah tangga. Malah, rezeki terus melimpah selepas Yusuf lahir,” katanya.

Menegaskan kemewahan dinikmati sekarang adalah hasil usahanya, Hairul bangga apabila Yusuf memenangi Si Cilik Meletop Anugerah Meletop Era 2017, baru-baru ini kerana popularitinya di media sosial.

“Sewaktu awal menceburi bidang lakonan, saya teringin menang anugerah. Walaupun hasrat itu belum tercapai tetapi saya menganggap pencapaian Yusuf cukup terbaik,” katanya.

Kucing bawa tuah

Selain itu, pelakon terbabit turut menganggap kucing peliharaannya, Bujibu Chempel membawa tuah kerana menerima permintaan daripada peniaga untuk membuat ulasan produk di Instagram.

“Kucing pun boleh buat duit. Bagi saya itu rezekinya dan kami tidak pernah merancang sesuatu untuk menjadikan dia popular di media sosial,” katanya.

Dalam pada itu, Hairul menjelaskan tujuan dia membuka akaun Instagram untuk Yusuf bagi mengumpul gambar anaknya itu.

“Gambar saya sewaktu kecil semuanya musnah dalam banjir. Jadi, saya tidak mahu anak hilang gambar kenangan,” katanya.

Bercerita mengenai Ramadan, Hairul memilih untuk berbuka puasa bersama keluarga.

“Saya mahu menghargai masa bersama keluarga,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here