Hakim lain dengar permohonan injunksi PM

0
56



Permohonan injunksi Datuk Seri Najib Razak bagi menghalang anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee daripada memfitnahnya berhubung satu klip video yang dimuatkan di laman Facebook, akan didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi yang baharu, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab.

Peguam Nor Hazira Abu Haiyan yang mewakili Perdana Menteri berkata Hakim Mohd Zaki akan mendengar permohonan injunksi inter-parte itu selepas seorang pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, yang sepatutnya mendengar permohonan itu menarik diri daripada mendengar permohonan berkenaan.

Peguam itu berkata demikian selepas pengurusan kes di dalam kamar Timbalan Pendaftar Erry Shahriman Nor Aripin hari ini, yang turut dihadiri peguam Joanne Chua mewakili Pua.

Pada 24 Mei lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menarik diri daripada mendengar permohonan itu atas alasan beliau pernah aktif dalam politik serta menjadi anggota pentadbiran dan Dewan Negara sebelum menganggotai badan kehakiman.

Sementara itu, Joanne berkata, permohonan injunksi itu akan didengar pada 8 Jun Pada 21 April lepas, Hakim Abu Bakar Jais membenarkan permohonan Najib bagi mendapatkan injunksi sebelah pihak (ex-parte) untuk menghalang Pua selaku defendan daripada menerbitkan perkataan sama atau serupa seperti yang terkandung dalam kenyataan defendan itu.

Najib memohon injunksi sebelah pihak berasaskan kebimbangan peribadinya akan betapa seriusnya kenyataan memfitnah Pua itu boleh menjejaskan kedudukannya sebagai Perdana Menteri, menteri kewangan serta pemimpin sebuah parti politik.

Pada 21 April lalu, Najib atas kapasiti peribadinya menyaman Pua atas dakwaan memfitnah berhubung kenyataan Pua dalam “live video” berkaitan pembentangan Rang Undang Undang Akta Mahkamah Syariah (BIdang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355.

Dalam pernyataan tuntutannya, Najib selaku plaintif mendakwa Pua telah membuat satu kenyataan di ruang legar Bangunan Parlimen pada 6 April lalu, yang telah dirakamkan dan dimuat naik oleh defendan dan/atau ejen-ejennya dalam Facebook rasminya “Tony Pua.”

Plaintif mendakwa klip video berdurasi dua minit dan 21 saat itu bertajuk “BN Govt abandons all Bills to give precedence to PAS RUU355 Private Member”s Bill”, boleh diakses dan ditonton secara meluas dan mudah di internet.

Najib mendakwa kenyataan dalam “live video” itu mengandungi perkataan yang merujuk secara spesifik kepadanya dan membawa maksud bahawa beliau telah menyalahgunakan kuasa dengan memberi arahan melalui Kabinet kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat agar memberi laluan kepada anggota Parlimen Marang untuk mengusulkan Rang Undang-Undang Persendirian dan mengetepikan Rang Undang-Undang yang lain.

Najib turut memohon ganti rugi am, tambahan, teladan, faedah dan satu perintah injunksi bagi menahan defendan atau ejen-ejennya dalam apa cara sekali pun daripada menerbitkan lebih lanjut perkataan-perkataan fitnah terhadapnya selain memohon perintah supaya Pua mengeluarkan “live video” itu daripada laman Facebook beliau dengan serta-merta.

– Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here