Hakisan longkang ancam keselamatan penduduk

0
75



Ampang: Lebih 50 penduduk di Taman Putra Ampang, di sini, bimbang terpaksa berdepan masalah hakisan tanah dan banjir sejak dua tahun lalu.

Lebih mengecewakan, masalah hakisan tanah di belakang rumah mengancam keselamatan penduduk apabila longkang saliran pecah dan tiang lampu dikhuatiri tumbang dan menghempap rumah mereka.

Masalah dialami penduduk mendapat perhatian Ketua MCA Bahagian Pandan Datuk Leong Kok Wee dan Ketua Biro Aduan Dewan Undangan Negeri Teratai Ben Liew Pok Boon.

Leong berkata, penduduk di kawasan ini mendakwa sudah membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), namun kecewa masalah berkenaan tidak diambil peduli.

“Disebabkan hujan tidak menentu sejak dua minggu lalu, penduduk kawasan ini mendapati longkang di belakang rumah runtuh dan struktur di dalamnya kosong.

“Apabila dipijak, longkang akan runtuh, sekali gus merosakkan bangunan kediaman mereka,” katanya.

Beliau berkata, penduduk terpaksa berdepan masalah banjir setiap kali hujan kerana air dari pusat rawatan keluar ke longkang kawasan rumah dan melimpah hingga ke paras buku lali.

Penghuni taman, Yep Sow Fong, 69, berkata, MPAJ sebelum ini memantau kawasan perumahan itu dan mengambil gambar, tetapi selepas itu berdiam diri tanpa tindakan susulan.

“Saya bersama penduduk lain mengambil inisiatif sendiri dengan membaiki longkang di belakang rumah kerana tidak mahu perkara buruk berlaku.

“Namun sejak dua minggu lalu, saya dapati berlaku hakisan di longkang belakang rumah walaupun sudah dibaiki dan tiang lampu boleh tumbang bila-bila masa.

“Masalah banjir berpunca daripada saliran longkang sempit dan tersumbat menyebabkan air melimpah ke dalam rumah, malah mengundang haiwan berbisa seperti biawak dan ular,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here