Halimah Yacob angkat sumpah jawatan presiden ke-8 Singapura

0
41

SINGAPURA: Halimah Yacob mengangkat sumpah sebagai Presiden kelapan Singapura di Istana hari ini yang juga menandakan hari pertama beliau menyandang jawatan itu untuk tempoh enam tahun.

“Saya, Halimah Yacob, yang dipilih sebagai Presiden Republik Singapura, sesungguhnya bersumpah bahawa saya akan menjalankan tugas-tugas saya dengan jujur dan ikhlas”.

Upacara mengangkat sumpah jawatan itu disaksikan oleh perdana menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Ketua Hakim Sundaresh Menon.

Halimah, 63, Presiden wanita pertama Singapura menggantikan Tony Tan Keng Yam yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 31 Ogos.

Dalam ucapannya selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden, Halimah berkata: “Saya tahu bahawa sesetengah rakyat Singapura lebih suka mencapai ini tanpa perlu mengadakan pilihan raya yang dikhaskan. Saya menghormati pandangan mereka.”

Pilihan raya Presiden Singapura 2017 memperuntukkan calon presiden kepada komuniti Melayu.

“Seperti mereka, saya menaruh harapan supaya suatu hari nanti, kita tidak lagi perlu bergantung kepada peruntukan untuk mengadakan pilihan raya, dan rakyat Singapura secara semula jadi dan dari semasa ke semasa memilih warga dari semua kaum sebagai Presiden.

Halimah memberi jaminan kepada semua rakyat Singapura bahawa “sebagai Presiden anda” saya akan berkhidmat kepada setiap orang daripada anda, tanpa mengira kaum, bahasa atau agama.”

Halimah dilantik sebagai Speaker wanita pertama Parlimen Singapura empat ahun lalu.

Beliau menceburi politik pada 2001 dan menjadi anggota Parlimen Kawasan Pilihan Raya Kumpulan Perwakilan (GRC) Jurong dan GRC Marsiling Yew-Tee.

Halimah yang diisytiharkan sebagai bakal Presiden pada Rabu juga ialah ketua negara pertama dari komuniti Melayu dalam tempoh 47 tahun.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here