Halimah Yacob buat persiapan tanding jawatan presiden

0
12

SINGAPURA: Halimah Yacob pada Isnin meletak jawatan sebagai Speaker Parlimen Singapura dan Anggota Parlimen untuk bertanding jawatan presiden bulan depan.

Anggota Parlimen bagi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Marsiling-Yew Tee itu mengesahkan pada Ahad beliau akan bertanding dalam pemilihan presiden, yang kali ini dikhaskan untuk calon Melayu.

“Pagi tadi, saya meletak jawatan sebagai Speaker Parlimen, Anggota Parlimen bagi GRC Marsiling-Yew Tee dan sebagai anggota People’s Action Party,” kata Halimah dalam catatan di laman Facebooknya pada Isnin.

Dalam catatan itu, Halimah juga melampirkan surat peletakan jawatan yang dikemukakan beliau kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong, yang juga setiausaha agung People’s Action Party (PAP). Dalam catatannya, Halimah berkata beliau juga tidak akan lagi menjadi anggota Jawatankuasa Kerja Pusat PAP, pengerusi Kumpulan Senior PAP (PAP. SG) dan pengerusi PAP cawangan Marsiling.

Halimah merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan sejawatannnya sebagai anggota Parlimen dan anggota PAP “atas sokongan berterusan serta persahabatan mereka dan kerana bekerjasama untuk menjadikan Singapura tempat tinggal yang lebih sejahtera untuk rakyat kita”.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Singapura atas sokongan padu dan galakan yang telah mereka berikan. Saya amat terharu dan berbangga kerana rakyat Singapura daripada pelbagai lapisan kehidupan meminta saya menimbang untuk bertanding jawatan presiden.

“Saya berjanji tidak akan mengecewakan anda dan saya tidak sabar untuk terus berkhidmat untuk anda,” katanya.

Akhbar The Straits Times melaporkan bahawa Halimah juga menghantar sepucuk surat kepada Timbalan Speaker Charles Chong bagi meminta beliau menerajui Dewan, sehinggalah Speaker baharu dipilih.

Mengenai kerusi beliau bagi GRC Marsiling-Yew Tee, Menteri Pembangunan Nasional Lawrence Wong dilaporkan berkata pada Ahad bahawa beliau dan anggota Parlimen lain dalam GRC berkenaan – Alex Yam dan Ong Teng Koon – akan mengisi kekosongan dalam memberi khidmat kepada penduduk di kawasan yang sebelum ini diwakili Halimah.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here