Hamid Bugo dilantik Pengerusi Petros

0
50

KUCHING: Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak yang pernah berkhidmat dengan Malaysia LNG Sdn. Bhd. di Bintulu, Tan Sri Hamid Bugo dilantik sebagai Pengerusi Petroleum Sarawak Berhad (Petros) yang baharu ditubuhkan.

Pejabat Ketua Menteri Sarawak dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan selain Hamid, turut dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah ialah Datuk Mohammad Medan Abdullah, Sharbini Suhaili, Zuraimi Sabki dan Heng Hock Cheng.

Malah Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg turut melahirkan keyakinannya terhadap komposisi Lembaga Pengarah Petros ini kerana mereka kesemuanya merupakan kelompok profesional dan berpengalaman luas dalam industri ini.

Mereka juga memiliki rekod cemerlang dan terbukti telah berkhidmat sebagai pemegang jawatan utama dalam industri minyak dan gas.

Pelantikan ahli lembaga ini akan memastikan Petros secara strategik bergerak di atas landasan yang betul serta beroperasi dengan model perniagaan yang baik, serta mampu mencapai matlamat yang dimaksudkan.

Objektif utama penubuhan Petros adalah untuk membolehkan Sarawak mengambil bahagian dalam pembangunan sektor huluan minyak dan gas khususnya dalam penerokaan dan pengekstrakan minyak dan gas di perairan Sarawak.

Inisiatif ini juga selaras dengan aspirasi Sarawak untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik dalam kalangan bakat tempatan selain membawa kembali bakat-bakat dan tenaga pakar Sarawak yang kini sedang berkhidmat di luar negeri.

Pada masa yang sama, Petros juga boleh menjadi platform yang baik untuk mengasah lebih ramai usahawan untuk menyokong pertumbuhan dan inovasi industri bernilai tambah tinggi di negeri ini.

Petros kini sedang memilih Ketua Pegawai Eksekutifnya dan jawatan pengurusan utama lain untuk membolehkannya memulakan operasiĀ  pada suku pertama, 2018.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here