Hamidin bukan calon paling layak: Bakri

0
99
Advertisement



PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) memerlukan anjakan baru dalam pentadbirannya bagi memastikan kemajuan bola sepak negara mampu dilonjakkan ke tahap lebih tinggi.

Justeru, pengalaman sahaja tidak memadai sebaliknya persatuan itu perlu dipimpin oleh seorang presiden yang dinamik, mempunyai idea serta pendekatan baru.

Demikian pandangan bekas pemain kebangsaan, Bakri Ibni, sekali gus menafikan Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai calon paling layak menjadi Presiden FAM yang baharu menjelang pemilihan pada 14 Julai ini.

Bakri berkata, walaupun Hamidin berpengalaman luas dalam pentadbiran bola sepak, namun beliau meragui kemampuan Setiausaha Agung badan bola sepak negara itu untuk menjalankan tugas sebagai orang nombor satu FAM.

“Sebagai presiden, seseorang itu bukan sahaja mentadbir sebuah organisasi sebaliknya perlu mempunyai idea serta bijak merancang bagaimana cara untuk memajukan lagi bola sepak negara ini khususnya mengembalikan kegemilangan skuad kebangsaan.

“Hamidin sepatutnya sudah mampu melakukan perubahan kepada bola sepak kita kerana lama terbabit dengan FAM sama ada sebagai naib presiden mahupun setiausaha namun, rekod menunjukkan tiada kemajuan mampu dihasilkan.

“Bagi saya, ia satu kegagalan. Jadi, adakah kita boleh mengharapkan sesuatu yang luar biasa mampu dilakukan  Hamidin jika beliau menjadi presiden kelak?

“Jawapan saya adalah ‘tidak’.  Oleh itu, Hamidin bukanlah calon yang layak untuk jawatan Presiden FAM walaupun ramai yang meletakkan beliau sebagai pilihan bersandarkan pengalamannya,” jelas Bakri.

Sebaliknya, Bakri lebih terdorong mencadangkan agar perwakilan memilih seseorang yang ‘segar’ serta belum teruji kemampuannya seperti Datuk Seri Azim Zabidi yang turut dicalonkan untuk merebut jawatan itu.

“Kita juga sudah dapat menilai sejauh mana keberkesanan Tan Sri Annuar (Musa) sebagai pentadbir semasa menjadi Timbalan Presiden FAM dan Presiden KAFA (Persatuan Bolasepak Kelantan).

“Tapi, Datuk Seri Azim boleh dianggap muka baharu dalam senario bola sepak kita. Memang kita masih samar sejauh mana keupayaan beliau namun tidak salah untuk mencuba.

“Mungkin beliau mampu memenuhi kriteria pemimpin yang kita cari selepas dua calon lagi yang lebih berpengalaman telah gagal merubah nasib bola sepak negara walaupun sudah diberi peluang melakukannya sebelum ini,” hujah Bakri.

Berdasarkan pencalonan, Hamidin yang menjadi pilihan 18 ahli gabungan FAM dilihat tiada masalah untuk mengetepikan cabaran Azim dan Anuar yang masing-masing hanya menerima satu pencalonan sahaja.

Sehingga kini, ketika Hamidin sudah mengesahkan untuk bertanding, Azim dan Annuar belum memberi kata putus menjelang tarikh akhir pengesahan pada Khamis ini.

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here