Hamidin 'kunci' selesai isu gaji

0
302
Advertisement



MENJELANG Kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang akan menyaksikan Datuk Hamidin Mohd Amin diangkat selaku presiden baharu Sabtu ini, badan induk itu digesa melakukan beberapa perubahan khususnya membabitkan soal kebajikan pemain.

Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Rezal Zambery Yahya berkata, sesuatu kes yang dibawa ke pengetahuan Jawatankuasa Status Pemain ataupun Jawatankuasa Tatatertib sering tertangguh agak lama hingga menjejaskan periuk nasi pemain.

Katanya, dengan pelantikan Hamidin selaku orang nombor satu FAM, diharapkan dapat memperbaiki proses berkenaan diselesaikan dalam tempoh singkat dan profesional.

“Sebelum ini seperti mana kami menghantar kes, perkara ini mengambil masa yang lama untuk didengari dalam Jawatankuasa Status.

“Dan selepas keputusan diambil, masih lagi terdapat pihak pengurusan atau persatuan yang mengingkari hukuman dijatuhkan oleh FAM. Jadi, kami merasakan ini tidak adil kepada pemain yang terpaksa menunggu dan terus menunggu.

“Kita kena tahu, masa pada mereka (pemain) amat-amat berharga terutama sekali perkara yang kita bawa ke FAM mengenai isu pembayaran gaji.

“Jika dibiarkan begitu lama, ia akan membawa imej buruk kepada liga tempatan dan juga menganiaya pemain yang selama ini sudah menyumbang kepada majikan dan pasukan mereka,” katanya ketika ditemui di pejabat PFAM di sini.

Ujar bekas pemain kebangsaan dan Negeri Sembilan itu lagi, FAM juga perlu mengetatkan syarat kelulusan kepada pasukan dan kelab yang mahu bertanding dalam saingan liga tempatan tidak kira sama ada membabitkan liga atasan dan bawahan.

Ia bagi mengelak adanya pasukan menarik diri di pertengahan jalan ekoran masalah mendapatkan penajaan hingga menyusahkan pemain seperti mana yang berlaku kepada kelab Marcerra Kuantan FA.

“Selepas ini FAM perlu tegas dari segi pengambilan pasukan yang bertanding kerana kalau kita lihat ada antara mereka yang tidak memenuhi peraturan dapat bertanding.

“Akhirnya ada pasukan yang menarik diri dan secara tak langsung ia menyusahkan ramai pihak termasuk pemain dan pasukan lain. Kami harap pertandingan liga ataupun pengurusan skuad kebangsaan selepas ini lebih teratur di bawah kepimpinan Datuk Hamidin,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here