Hanoi haram penggunaan motosikal pada 2030

0
16


HANOI: Pihak berkuasa bandar raya Hanoi bersetuju untuk menguatkuasa larangan penggunaan motosikal menjelang 2030 dalam usaha mengatasi masalah pencemaran alam sekitar dan kesesakan lalu lintas.

Keputusan itu dicapai selepas 95 daripada 96 kaunselor mengundi bersetuju mengharamkan penggunaan kenderaan itu dalam satu mesyuarat di sini, hari ini.

Hanoi terkenal dengan pengangkutan motosikal yang digunakan untuk membawa seluruh keluarga atau barangan, berikutan kemudahan pengangkutan awamnya yang terhad.

Ketika ini, kira-kira lima juta motosikal membanjiri di bandar raya yang mempunyai tujuh juta penduduk berbanding hanya 500,000 kereta.

Keadaan ini berlaku kerana kadar gaji purata dalam kalangan penduduknya hanyalah sekitar AS$2,200 (RM9,455) setahun, menyebabkan motosikal menjadi pilihan sebagai alat pengangkutan utama.

Bagaimanapun, ramai yang mengkritik masalah pelepasan asap motosikal menjadi punca utama pencemaran udara, selain memburukkan lagi keadaan kesesakan lalu lintas di Hanoi.

Menurut laporan yang dimuat naik di laman web kerajaan, peningkatan jumlah kenderaan, terutama motosikal kini pada tahap membimbangkan.

“Kesesakan lalu lintas dan pencemaran udara akan menjadi bertambah serius pada masa hadapan jika pendekatan pengurusan sewajarnya tidak diambil,” kata laporan itu. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here