Hanya terbaring

0
49



Kuala Lumpur: Malang tidak berbau. Itulah yang menimpa seorang pemandu teksi selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya Februari tahun lalu hingga menyebabkan dia tidak berupaya bekerja sekali gus hilang punca pendapatan.

Mohd Shakier Ismail, 47, dipercayai dilanggar lari sebuah kereta yang datang dari belakang ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Klang dalam kejadian jam 11.20 malam.

Kejadian itu menyebabkan tulang belakangnya patah selain cedera teruk tumit kaki kanan.

Menurut bapa kepada tiga anak berusia antara 12 hingga 19 tahun itu kemalangan itu menyebabkan dia tidak mampu keluar bekerja dan hanya terbaring di atas katil di rumah sewanya di Bandar Saujana Utama, Sungai Buloh, dekat sini.

Mohd Shakier berkata, kini keluarganya bergantung kepada bantuan zakat dan wang ihsan yang dihulurkan keluarga dan rakan bagi menampung keperluan harian dan perbelanjaan persekolahan dua anaknya.

“Saya kembali memandu teksi beberapa bulan selepas kecederaan yang dialami sembuh, namun sakit pada bahagian belakang sering menyerang secara mengejut.

“Berikutan itu, doktor pakar menasihatkan saya berehat di rumah selain menjalani fisioterapi untuk memastikan tubuh saya benar-benar sihat dan kuat.

“Malangnya kecederaan tulang belakang dan pinggul ini terlalu serius, malah doktor mengesahkan saya hilang upaya untuk bekerja,” katanya.

Menurutnya, keluarganya hilang mata pencarian kerana isterinya menghidap kencing manis kronik tidak bekerja.

“Isteri hanya mengambil upah membuat kuih dan pendapatan itu cukup menyara persekolahan anak.

“Duit sewa rumah kami tidak mampu bayar, tetapi saya bersyukur kerana tuan rumah memberi kebenaran kami menumpang teduh buat sementara waktu,” katanya.

Katanya, dia sentiasa berdoa untuk kembali sihat dan boleh bekerja semula.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menghulurkan ke akaun Bank Islam kepunyaan Mohd Shakier Ismail, 14153020258239.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here