Hanya tinggal Croatia penghalang Les Bleus

0
96
Advertisement



MOSCOW: Selepas sebulan dan 63 perlawanan, Piala Dunia 2018 mencapai kemuncak dengan Perancis yang dibarisi skuad muda dan ditunjangi Kylian Mbappe serta Antoine Griezmann memburu trofi keagungan bola sepak itu buat kali kedua, esok.

Bertemu Croatia di pentas final, ia adalah aksi penutup yang mungkin ramai tidak jangkakan pada empat minggu lalu ketika kejohanan di Russia baru membuka tirainya.

Kuasa-kuasa besar bola sepak dunia, Jerman, Brazil dan Argentina sudah pun tersingkir menyaksikan deretan bintang ternama, Lionel Messi, Cristiano Ronaldo dan Neymar pulang ke kediaman masing-masing.

Sebaliknya, Perancis yang dianugerahkan dengan bakat dan hadir selaku skuad kedua paling muda di Russia serta dikuatkan dengan kepantasan Mbappe akan bertemu Croatia yang memperoleh inspirasi Luka Modric, pemain tengah yang dianggap terbaik dunia ketika ini.

Bagi kebanyakan orang, ia satu pertemuan mengecewakan kerana ia bukannya pertembungan membabitkan dua gergasi atau tiada wakil dari Amerika Selatan.

Untuk kali kedua dalam sejarah, tiada Brazil, Jerman, Itali atau Argentina berada di final selepas Sepanyol menjuarai Piala Dunia 2010 dengan menewaskan Belanda.

Selepas memenanginya buat pertama kali pada 1998, Perancis berpeluang untuk menyertai Argentina dan Uruguay jika menang dengan jurulatih, Didier Deschamps boleh bergelar lelaki ketiga menjulang trofi berkenaan selaku pemain dan pengurus selepas Mario Zagallo dan Franz Beckenbauer.

“Final Piala Dunia, ia seperti mimpi ketika kanak-kanak yang menjadi kenyataan,” kata pemain tengah, Blaise Matuidi. “Kami amat hampir untuk memenangi trofi yang kami mahu menyentuhnya. Ia adalah perlawanan terpenting dalam hidup kami.”

Tewas menerusi penalti kepada Itali pada 2006, Perancis jelas lebih ‘dahagakan’ kemenangan selepas turut dipalit kekalahan mengecewakan di pentas final Euro 2016 kepada Portugal di gelanggang sendiri.

“Ia memberikan kami pengajaran, dan ia bermakna kami tahu bagaimana untuk bermain di final,” kata Matuidi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here