Harith mohon maaf

0
68



Austria: Tonggak tengah skuad bawah 15 tahun (B-15) negara, Harith Haikal Adam Afkar memohon maaf kepada rakan sepasukannya kerana menyebabkan Austria memperoleh sepakan penalti pada aksi kedua Kumpulan B saingan Torneo Delle Nazioni 2017 di Padang Enam Kotschach, Austria, semalam.

Dia menjatuhkan pemain tuan rumah dalam kawasan penalti pada minit ke-25, menyebabkan pengadil menghadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan penyerang mereka, Bernhard Zimmermann.

Menurutnya, dia agak terkejut apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti walaupun situasi itu tidak membahayakan pemain lawan.

Katanya, tindakannya itu tidak disengajakan dan terjadi secara spontan ketika dia cuba sedaya upaya mempertahankan benteng Harimau Malaya daripada dibolosi.

“Saya minta maaf kepada semua kawan-kawan kerana mungkin kesilapan saya menyebabkan kita tewas hari ini (semalam).

“Terus terang saya sendiri tak sangka mereka akan diberikan sepakan penalti, padahal saya langsung tidak melakukan terjahan yang keras.

“Mungkin pengadil ada pandangannya sendiri dan kita terpaksa terima,” katanya yang ditemui Arena Metro di sini, semalam.

Dalam aksi itu, Malaysia tumbang 0-2 menerusi jaringan penalti Zimmermann yang dilakukan pada babak pertama sebelum Alejandro Dominguez menambah gol kedua pada minit ke-46 sekali gus menutup peluang skuad kendalian Lim Teong Kim mengintai slot ke separuh akhir.

Sebelum ini, pasukan negara tewas tipis 0-1 kepada Mexico yang berlangsung pada Isnin lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here