Harrif perlu rawatan terlebih dulu

0
31



Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal negara Mohd Harrif Saleh terpaksa menangguhkan pemergian ke Australia bagi mendapatkan rawatan di Institut Sukan Negara (ISN) susulan kecederaan dialaminya penghujung bulan lalu.

Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) yang juga pemenang dua emas Sukan SEA 2015 itu dijadualkan menjalani latihan sebulan di Melbourne di bawah kendalian jurulatih Jeremy Hunt dalam misi mempertahankan emas Ogos ini.

Bagaimanapun perbincangan antara TSG dan ISN menyaksikan pelumba berkenaan diminta mendapatkan rawatan terlebih dulu.

“Saya akan mula menjalani proses pemulihan esok (hari ini) dan hanya dijangka ke Melbourne minggu depan sekiranya keadaan mengizinkan.

“Saya menurut keputusan dilakukan pihak pengurusan TSG dan ISN yang cuba mempersiapkan saya agar berada dalam keadaan terbaik menjelang temasya Ogos nanti,” jelas pakar pecut TSG itu.

Harrif terjatuh ketika menyertai Tour of Korea bulan lalu dan pada awalnya tidak menjangkakan sesuatu yang serius kerana mampu menghabiskan perlumbaan lima peringkat itu.

Bagaimanapun selepas menjalani rawatan lanjut di Terengganu, terdapat tulang retak pada bahagian kanan belakang pinggangnya.

“Ia sudah disahkan ISN semalam (kelmarin). Mereka sudah mempunyai rancangan untuk melakukan rawatan dan saya bersedia sepenuhnya.

“Saya tidak merasai kesakitan yang melampau cuma sedikit saja. Saya berharap mampu sembuh untuk mempertahankan dua emas dimenangi.

“Saya tetap bersemangat untuk beraksi di tempat sendiri dan memberikan yang terbaik,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here