Hart enggan lihat City lagi

0
201
Advertisement



CHICAGO, Amerika Syarikat: Joe Hart terdesak untuk meninggalkan Manchester City sekali gus menyemarakkan semula kariernya selepas kurang diperlukan Pep Guardiola.

Bekas penjaga gol England itu disingkirkan oleh pengurus dari Sepanyol itu susulan pelantikannya dua tahun lalu dan selepas dua kali dipinjamkan ke Torino dan West Ham United, pemain berusia 31 tahun itu masih gagal berpindah secara tetap dari Etihad.

Hart tampil kali pertama buat City sejak Ogos 2016 ketika kalah 0-1 kepada Borussia Dortmund pada aksi Piala Juara Antarabangsa di Solder Field semalam namun dia belum tahu mengenai masa depannya.

Masuk pada babak kedua sebagai pengganti Claudio Bravo, pemain yang dibawa Guardiola untuk menggantikannya, dia kelihatan lebih tenang dan menyelamatkan beberapa percubaan bahaya pada pertengahan separuh masa kedua.

Chelsea dikaitkan dengannya jika Thibaut Courtois berpindah ke Real Madrid namun dengan Hart berada pada tahun terakhir kontraknya yang dipercayai sekitar £160,000 (RM853,000) seminggu, hanya perjanjian jangka panjang mungkin diterimanya.

“Saya tidak pernah bercuti lama pada musim panas jadi bagus untuk bermain bola sepak sekali lagi,” kata Hart yang mengakui dia akan memenuhi 12 bulan terakhir kontraknya jika gagal berpindah ke kelab yang sesuai.

“Saya berseronok sebaik mungkin. Saya sudah menanganinya dengan cara sama saya menangani setiap perkara. Saya profesional dan tugas saya adalah bermain bola sepak.

“Ada orang lain yang akan menguruskan hala tuju saya pada masa depan. Saya patut berada di sini jadi saya dedikasikan masa dan tenaga sepenuhnya.

“Saya perlu berpindah ke satu-satu kelab secara tetap, saya fikir ia jelas. Saya lakukan apa yang perlu dalam dua musim terakhir kerana saya mahu terbabit pada Piala Dunia.”

Kemelut Hart di City menyaksikannya kehilangan tempat dalam pasukan kebangsaan England kepada Jordan Pickford dan sekalipun dia gembira menyaksikan skuad kendalian Gareth Southgate mengatasi ramalan di Russia apabila layak ke separuh akhir, tidak mudah buatnya dengan hanya menjadi penonton.

“Saya hanya mahu pasukan bertindak baik,” ujar Hart yang masih menaruh harapan kembali ke skuad kebangsaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here