Hartawan keji tipu renjer, sesuka hati bunuh haiwan di taman negara

0
101
Advertisement
BANGKOK: Seorang hartawan dalam bidang pembinaan berusia 63 tahun ditahan pihak berkuasa Thailand kerana menjalankan aktiviti memburu secara haram di santuari haiwan yang terletak dalam kawasan Tapak Warisan Thungyai Naresuan, di wilayah Kanchanaburi.

Portal berita Bangkok Post melaporkan, sepasukan renjer hutan telah menahan hartawan bernama Premchai itu yang juga merupakan presiden syarikat gergasi Italian-Thai Development (ITD), di sebuah kawasan hutan larangan Huaio Pachee dekat barat taman negara tersebut.

Pihak berkuasa menjumpai beberapa bangkai haiwan yang dilindungi yang telah disiat kulitnya, termasuk seekor harimau kumbang hitam sepanjang 1.48 meter dan seekor rusa, serta seekor burung kuang raya Kalij.

Tiga senapang panjang dan sebekas peluru turut dirampas, selain menahan tiga lagi pekerja syarikat ITD berusia antara 43 hingga 65 tahun dari cawangan berbeza syarikat itu.

Premchai ditahan bersama beberapa bangkai haiwan terlindung yang sudah menjadi korbannya. - Bangkok Post

Mereka didakwa melakukan kesalahan memburu secara haram, memburu haram di kawasan santuari perlindungan  haiwan, mengumpul hasil hutan secara haram dan pemilikan senjata tanpa lesen.

Premchai dan tiga pekerja syarikatnya itu memasuki hutan tersebut pada Sabtu. Mereka memberitahu renjer bahawa mereka hanya melakukan trekking hutan selama dua hari satu malam selain hendak berkhemah.

Namun, pada Ahad, unit renjer hutan menerima laporan bahawa kumpulan tersebut berkhemah di kawasan larangan.

Sejurus diperiksa, pasukan renjer hutan itu terkejut dengan penemuan itu, lalu menahan dan membawa Premchai dan rakan-rakan kerjanya ke balai polis.

Memburu dan menyimpan haiwan liar adalah kesalahan yang boleh dikenakan hukuman hingga empat tahun penjara dan/atau denda sehingga 40,000 Baht.

Nilai denda tersebut bagaimanapun dianggap terlalu rendah berbanding impak kesalahan yang dilakukan.

Berita penahanan Premchai itu telah menyebabkan, nilai saham syarikat ITD serta-merta menjunam 4.7 peratus iaitu bernilai 232 juta Baht (RM28.75 juta)  pada Selasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here