Hasil kerja keras kami

0
72
Advertisement



LARUNS: Dominasi Team Sky di Jelajah Perancis sejak kebelakangan ini adalah hasil kerja keras dan akan bertahan untuk tempoh yang agak panjang, kata pemegang jersi kuning, Geraint Thomas.

Pelumba Wales itu semakin hampir untuk menjulang gelaran Jelajah pertamanya esok selepas menjarakkan pendahuluan peringkat ke-19 sekali gus memberikan Team Sky kejayaan keenam sepanjang tujuh tahun sejak Bradley Wiggins muncul pelumba Britain pertama memenangi perlumbaan pada 2012.

Tetapi persoalan yang ditimbulkan media dan ahli politik ke atas pasukan Britain itu semakin hangat diperkatakan apatah lagi membabitkan kontroversi mengenai Wiggins dan kemampuan juara Jelajah empat kali, Chris Froome yang kini menduduki tangga keempat keseluruhan, untuk mempertahankan gelarannya.

Wiggins tampil mempertahankan dirinya selepas dituduh menggunakan bahan terlarang dalam usaha meningkatkan prestasinya dan perkara itu ditimbulkan sidang parlimen Britain. Team Sky bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Wiggins turut terbabit dengan isu ‘beg rahsia’ di mana doktor pasukan Team Sky, Richard Freeman dikatakan menerima bungkusan bagi pihaknya ketika perlumbaan Criterium du Dauphine 2011 di Perancis dan kandungan kotak terbabit masih lagi menjadi rahsia. Team Sky mendakwa kotak itu mengandungi ubat selsema.

Sementara Froome pula diuji positif terhadap penggunaan ubat berlebihan bagi merawat lelah ketika perlumbaan di Vuelta dan hanya disahkan tidak bersalah oleh badan induk sukan berbasikal, UCI beberapa hari sebelum Jelajah bermula.

Penyertaannya dalam edisi kali ini mendapat pelbagai reaksi di Perancis. Bahu Froome ditepuk dari belakang oleh penonton yang tidak suka dengannya sambil sudah beberapa kali dia dan Thomas diejek penyokong.

Ditanya mengenai kontroversi yang melanda Team Sky, Thomas berkata: “Apa yang boleh saya katakan? Saya cuma buat apa yang patut. Pasukan juga melakukan perkara sama.

“Kami berlatih dengan keras. Tiada apa yang boleh saya buat untuk membuktikannya. Hanya masa yang akan menentukan,” katanya.

“Pasukan kami memang kuat. Mereka ada saya, Froomey, Egan Bernal, Luke Rowe. Tiada siapa boleh menafikannya. Kami bukan saja memiliki kaki yang kuat tetapi kami juga ada tahap pemikiran yang bagus.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here