Hasil positif di Belanda

0
62



Kuala Lumpur: Malaysian Tigress menamatkan kempen siri Jelajah Eropah kedua di Amsterdam, Belanda dengan positif apabila mencatat keputusan seri 1-1 ketika bertemu pasukan Liga Hofferklasse atau liga utama, HDM awal pagi semalam.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan skuad negara berjaya melakar satu kemenangan, dua seri dan empat kekalahan dalam siri jelajah di Amsterdam.

Sebelum itu, pada siri jelajah pertama di Jerman, skuad negara mencatat empat kemenangan serta masing-masing satu kekalahan dan seri ketika bertemu pasukan kelab dan skuad kebangsaan bawah 21 tahun.

Siri Jelajah Eropah adalah persediaan untuk menghadapi saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia Wanita di Brussels, Belgium dari 21 Jun hingga 2 Julai depan.

Jaringan tunggal negara disumbangkan kapten pasukan Siri Noor Amarina Ruhani pada minit ke-58 menerusi pukulan sudut penalti.

Mengulas mengenai perlawanan terakhir itu, ketua jurulatih skuad hoki wanita negara Muhammad Dhaarma Raj Abdullah berkata, HDM yang kini menduduki tangga keenam liga, adalah pasukan terkuat yang pernah ditemui barisan pemainnya sejak beliau dilantik selaku ketua jurulatih negara, Januari tahun lalu.

“Berdasarkan statistik, kita tidak mampu menyaingi mereka. Cubaan tepat serta pukulan sudut penalti mereka jauh mendahului barisan pemain saya.

“Kita hanya mampu bertahan dengan baik. HDM sebaliknya mempunyai barisan pemain yang rata-rata boleh memperdaya pemain kita dengan begitu mudah,” katanya.

Dhaarma menyifatkan walaupun HDM berstatus sebuah kelab, namun lawan mereka itu dilihat jauh lebih baik berbanding pasukan kebangsaan Ireland atau Itali yang ditemui skuad negara pada Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia Wanita, Januari lalu yang menyaksikan Malaysia muncul naib juara.

“Saya amat berharap barisan pemain saya akan ditawarkan untuk bermain di Belanda. Tetapi melihat kepada kekuatan lawan, saya jangkakan sukar untuk mereka mendapat tempat bermain di sini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here