Hasil telur untuk asnaf

0
468
Advertisement



Lazimnya, projek ternakan haiwan diusahakan bagi mendapatkan pulangan namun berbeza dengan Mohd Fazrysham Kamran yang menjadikannya sebagai antara platform untuk membantu golongan asnaf menjana pendapatan.

Inisiatif di bawah pertubuhan Komuniti Harmoni Kita (KHK) itu digerakkan menerusi perusahaan ternakan itik dan telur yang dijalankan bersama rakannya, Mohd Shahrulnizam Alias dan pengasas Patik Infinity Solution Hairul Jalil Zahari di Kampung Sawah Liat Ulu Bendul, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Mohd Fazrysham yang juga pengasas KHK berkata, perusahaan itu dijalankan sejak Januari lalu di tanah seluas 1.2 hektar membabitkan ternakan 2,000 ekor itik jenis khaki campbell. Sebelum ini ia merekodkan penghasilan projek baka antara 40,000 hingga 60,000 anak itik secara berperingkat dalam projek penetasan anak itik telur.

ITIK khaki campbell yang diternak.

Katanya, telur diperoleh daripada ternakan itu kemudian dijual dan sebahagian hasil jualan disumbangkan kepada asnaf terbabit.

“Projek ini dijalankan bagi memberi peluang kepada keluarga asnaf memperoleh pendapatan dengan cara menjual telur masin daripada ternakan itik di pasar dan stesen minyak.

“Daripada situ, mereka dapat belajar selok-belok perniagaan sekali gus berdikari dalam mendapatkan sesuatu.

“Pada masa sama, projek ini turut memberi pendedahan berkenaan cara menternak itik dan setakat ini, enam keluarga asnaf sudah mendapat manfaat daripadanya,” katanya.

MOHD Fazrysham menunjukkan itik khaki campbell yang diternak untuk membantu asnaf.

Menurut Mohd Fazrysham, tempahan telur itik yang diterima memberangsangkan dan ia petanda perusahaan itu mempunyai potensi.

Malah, pihaknya juga mempunyai perancangan untuk mengembangkan perusahaan dengan membuka kilang baja di Klang, Selangor bagi memberi peluang pekerjaan kepada golongan asnaf dengan skala yang lebih besar.

HAIRUL Jalil memberi makan kepada itik ternakannya.

“Untuk permulaan, kami cuba sedaya upaya membantu asnaf berkenaan dengan menyediakan peluang berniaga kepada mereka tanpa perlu mengeluarkan modal.

“Buat masa ini, enam sudah mengambil bahagian dan kami menyasarkan penyertaan 20 keluarga asnaf menjelang hujung tahun ini.

“Itu perancangan awal dan kami berharap ia tercapai supaya mereka yang berhak mendapat manfaatnya menerusi projek ini,” katanya.

HAIRUL Jalil membersihkan bekas minuman itik.

Sementara itu, Hairul Jalil yang juga pengusaha ternakan berkata, kualiti sangat dititikberatkan dalam perusahaan ternakan itik dan penghasilan telur masin.

Oleh itu, pihaknya memastikan ternakan sentiasa berada dalam keadaan baik dan pemantauan rapi dilakukan untuk mendapatkan telur masin berkualiti mengikut piawaian yang ditetapkan.

TELUR itik yang sudah siap untuk dipasarkan.

“Penghasilan telur masin membabitkan beberapa proses bermula dengan pembersihan, menjemur dan rendaman yang tempoh matangnya mengambil masa antara 12 hingga 14 hari.

“Selepas itu, pengasingan dilakukan bertujuan memilih telur yang benar-benar berkualiti sebelum dijual kepada pelanggan.

“Sepanjang proses berkenaan, Hairul tidak berseorangan sebaliknya dibantu lima pekerja dengan tiga daripadanya adalah pekerja sambilan,” katanya.

MOHD Fazrysham (tengah) bersama rakannya, Mohd Shahrulnizam (kanan) dan Hairul Jalil menunjukkan telur asin yang sudah siap untuk dipasarkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here