Hatrik Mitrovic tonik buat Serbia

0
22
Advertisement



GRAZ, Austria: Serbia mendapat suntikan motivasi menjelang Piala Dunia selepas penyerang Aleksandar Mitrovic meledak hatrik ketika menewaskan Bolivia 5-1 dalam aksi persahabatan awal hari ini.

Penyerang Adem Ljajic dan pertahanan Branislav Ivanovic turut menjaringkan gol ketika Serbia meledak empat gol dalam separuh masa pertama ke atas Bolivia yang gagal menempah tiket untuk kejohanan di Russia itu.

Dikejutkan kekalahan 0-1 kepada Chile Ahad lalu, jurulatih Serbia Mladen Krstajic beralih kepada formasi 4-2-3-1 dengan Ljajic beraksi di belakang Mitrovic dan pemain tengah Sergej Milinkovic-Savic menggalas peranan lebih besar.

Rombakan itu menaikkan semangat pasukan pada separuh masa pertama apabila tandukan Mitrovic memberikan Serbia gol pendahuluan dan menjadikan kedudukan 3-0 selepas Ljajic meledak gol kedua dengan rembatan sejauh 13 meter.

Ivanovic yang menyamai rekod bekas pemain tengah Dejan Stankovic dengan103 penampilan antarabangsa, melakukan sepakan voli tidak lama sebelum tamat separuh masa pertama selepas Mitrovic mendapati pemain itu tidak diawasi dengan hantaran sepakan gunting melepasi bahagian depan gawang.

Pemain Serbia menurunkan rentak mereka pada awal separuh masa kedua dan Bolivia segera mengambil kesempatan apabila Jhasmani Campos berjaya menewaskan penjaga gol Vladimir Stojkovic pada minit ke-48.

Penjaga gol Bolivia Guillermo Viscarra menepis dua percubaan berbahaya daripada Dusan Tadic namun tidak berdaya apabila penyerang Newcastle United Mitrovic melakukan sepakan lencong dari jarak 20 meter untuk melengkapkan aksi terbaik peribadinya.

Pemain sayap Filip Kostic mensia-siakan dua peluang keemasan untuk menggandakan jaringan Serbia ketika mereka meningkatkan tempo permainan pada babak akhir perlawanan yang disambut sorakan peminat di Graz.

Aksi cemerlang Serbia pastinya memeningkan Krstajic menjelang aksi Kumpulan E menentang Costa Rica pada 17 Jun, ketika Milinkovic-Savic mungkin menjadi pilihan berbanding Luka Milivojevic di bahagian tengah, begitu juga bek tengah Nikola Milenkovic yang memiliki tiga cap mungkin diberi lebih perhatian berbanding pemain berpengalaman.

Serbia juga akan menentang Switzerland pada 22 Jun dan Brazil lima hari kemudian. – Reuters

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here