Helang Merah di landasan terbaik pertahan kejuaraan

0
11



Kuala Lumpur: Kemenangan bergaya 5-0 Kedah ke atas pasukan UiTM FC dalam aksi kedua Kumpulan C Piala Malaysia menyaksikan skuad kendalian Nizham Adzha Yusoff itu berada pada landasan terbaik untuk mempertahankan kejuaraan.

Penjaring Lang Merah, Syafiq Ahmad berkata, kejayaan meraih tiga mata buat kali kedua selepas turut berjaya menundukkan Melaka United pada aksi sulung Selasa lalu meletakkan mereka sebagai peneraju kumpulan dengan enam mata.

“Saya gembira dengan kemenangan pertama di tempat lawan dalam kempen Piala Malaysia dan ini memberi motivasi kepada kami untuk menepati sasaran mempertahankan Piala Malaysia,” katanya ketika ditemui di Stadium Mini UiTM, Shah Alam, kelmarin.

Bagaimanapun, Syafiq yang juga penyerang skuad bawah 22 tahun negara (B-22) mengaku rentak agresif yang ditunjukkan anak buah Wan Mustaffa Wan Ismail hampir memerangkap mereka terutamanya di babak kedua.

“UiTM FC membuktikan mereka bukanlah pasukan yang mudah untuk ditewaskan. Mereka tidak berputus asa meskipun ketinggalan dua gol apabila mengubah taktikal dengan lebih menyerang pada babak kedua.

“Serangan mereka kerap kali memasuki kotak penalti kami dan secara tidak langsung meletakkan kami dalam tekanan,” katanya.

Pada aksi itu, pelawat tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila Syafiq berjaya merobek gawang tuan rumah seawal minit kedua perlawanan.

Ia disusuli dengan gol kedua menerusi awang import Liridon Krasniqi (minit ke-43), Ken Ilso Larsen (m-79), Sandro da Silva (m-90) dan gol sendiri pemain tuan rumah Mohd Faiz Bandong beberapa saat sebelum tamat perlawanan.

Sementara itu, pengurus Datuk Jeffrey Low mengaku dua kemenangan berturut-turut yang diraih anak buahnya dalam saingan Piala Malaysia memberi petanda positif untuk kebangkitan mereka selepas kecundang 2-3 di tangan Perak pada aksi Liga Super sebelum ini.

“Kita masih perlu mempertingkatkan kualiti persembahan kerana kita akan bertemu lawan yang lebih sukar selepas ini.

“Apapun, saya nampak semangat pemain yang begitu tinggi yang mahu mempertahankan kejuaraan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here